44 Ditahan Terbabit Salah Guna Dadah Di Sekitar KK

Antara individu yang ditahan polis dalam operasi sekitar Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU:  Seramai 44 individu terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah ditahan polis sepanjang seminggu operasi dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu.

Operasi yang bermula sejak 29 Ogos lalu itu turut berjaya merampas dadah jenis syabu dan ganja yang dimiliki beberapa individu dalam tangkapan terbabit.

Antara individu yang ditahan polis dalam operasi sekitar Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi yang berakhir kelmarin dilaksanakan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Dalam tangkapan itu, seorang individu disiasat dibawah kategori bekalan iaitu Seksyen  39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 14 lagi disiasat dibawah kategori memiliki dadah Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 akta yang sama.

“Selain itu, 28 individu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) juga akta yang sama selepas didapati positif dadah dan seorang individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) akta yang sama dibawah Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, semua individu yang ditahan berusia antara 18 hingga 53 tahun.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 11.67 gram syabu dan 0.75 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM1,204.50,” katanya.

Terdahulu, Habibi berkata usaha untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah akan terus dipertingkatkan.

“Serbuan lokasi panas yang disyaki menjadi sarang penagihan dan pengedaran dadah akan terus diperhebat dari semasa ke semasa.

“Justeru, kerjasama masyarakat setempat amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam usaha membanteras jenayah dadah,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *