Timbalan Menteri minta Maaf Dakwa Veveonah Palsukan Kisah Duduki Peperiksaan Atas Pokok

Zahidi Zainul Abidin mohon maaf kepada Veveonah kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian di Dewan Negara pada Khamis. – Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, meminta maaf kepada Veveonah Mosibin, selepas mendakwa isu dibangkitkan pelajar terbabit dalam YouTube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan.”Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti,” tulisnya di akaun Facebook rasminya.

Terdahulu, beliau yang juga ahli Parlimen Padang Besar, dilaporkan berkata dalam sidang Dewan Negara bahawa isu yang dibangkitkan Veveonah hanyalah untuk rancangan YouTube pelajar itu.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah.

Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu,” katanya memetik video berkenaan.

Video tersebut telah dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Mohd Redzuan Abdul Manap kira-kira pukul 6 petang lalu.

Sementara itu, guru Veveonah yang dikenali sebagai Nawal NCD menerusi satu ciapan di Twitter menegaskan tahap akademik Veveonah yang juga pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu adalah cemerlang malah projek sains anak jati Pitas itu disifatkan cukup luar biasa.

“Saya adalah guru kepada Veveonah. Komitmen akademik dan p rojek sains dia luar biasa kerana Veveonah tegas dalam membezakan hak serta temberang batil,” katanya.

Dalam ciapan yang sama, guru terbabit memberitahu beliau pernah mengingatkan Veveonah supaya berhati-hati dengan dunia luar dan netizen.

“Berhati-hati dengan dunia luar dan netizen apabila keluar maktab demi justifikasi orang-orang yang sanggup mempersoalkan komitmennya,” tulis Nawal NCD. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4046