“Jujur, Saya Rasa Sangat Sedih…”, Veveonah Akui Kecewa Dengan Kenyataan Timbalan Menteri

Pelajar anak jati Sabah, Veveonah Mosibin sebentar tadi telah memuat naik satu kenyataan di laman facebook selepas namanya menjadi sebutan kembali hari ini.

Ia ekoran satu kenyataan daripada seorang Timbalan Menteri yang mendakwa dia tidak menduduki peperiksaan ketika video belajar di atas pokok miliknya menjadi viral di media sosial sebelum ini.

Jujurnya, saya berasa sangat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku ini. Saya benar-benar berusaha keras untuk (mengambil) peperiksaan online pada beberapa bulan lalu. Dan saya langsung tidak menjangka ia akan tular.

Kali ini, saya tular sekali lagi, tetapi dengan lebih banyak kesan buruk. Saya tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan komen-komen negatif dan teruk di media sosial. Ianya sangat menyakitkan.

Saya memaafkan semua kesilapan yang orang lakukan ke atas saya, tapi saya tetap perlu meluahkan kenyataan yang adil untuk diri saya ini.

Terima kasih kepada semua yang menyokong saya (keluarga, kawan-kawan, pensyarah dan peminat).

Terdahulu, timbalan menteri berkenaan membuat satu kenyataan ketika sidang Dewan Rakyat hari ini yang mendakwa gadis tersebut memuat naik video bukan sebab peperiksaan, tetapi sekadar mahukan kandungan (content) semata-mata.

Beliau bagaimanapun membuat permohonan maaf kepada Veveonah secara terbuka di laman facebooknya dan memperbetulkan kenyataan itu ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, beliau mendapat maklumat kurang tepat ketika menjawab soalan berkenaan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Sumber: Veveonah Mosibin / SiakapKeli

4796