
TAWAU: Water station yang sepatutnya menjadi lokasi persinggahan seketika bagi mendapatkan bekalan air bertukar menjadi ‘mini baazar’ apabila suasana di Water Station Team Rakus Campers pada Tawau Marathon 2026 berlangsung dalam keadaan cukup meriah, Ahad lalu.
Lebih 5,000 peserta membanjiri laluan larian sekitar daerah ini sempena acara anjuran Kelab Pelari Tawau (Tawau Runners), sekali gus menjadikan Tawau Marathon 2026 bukan sekadar medan menguji ketahanan fizikal, malah turut menjadi pesta komuniti.
Bagaimanapun, perhatian peserta dan orang ramai turut tertumpu kepada Water Station Team Rakus Campers yang tampil dengan suasana berbeza berbanding kebanyakan water station lain.
Mana tidaknya, lokasi itu dipenuhi sorakan, muzik, makanan, minuman, kuih muih, air balang serta gelagat sukarelawan yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada pelari.
Kemeriahan berkenaan menyebabkan suasana water station terbabit seolah-olah bertukar menjadi ‘mini bazaar’, sekali gus menarik perhatian pelari yang singgah mendapatkan bekalan.
Bagi peserta yang sudah mengharungi jarak jauh dan mula berdepan keletihan, sorakan serta sambutan daripada sukarelawan itu pastinya menjadi suntikan semangat untuk meneruskan larian.
Namun, dalam kemeriahan itu, ada juga pelari yang dilihat seakan-akan terlupa seketika tujuan asal mereka berhenti di situ.
Pelbagai juadah yang disediakan di water station berkenaan dikatakan begitu menggoda sehingga ada peserta mengambil peluang menikmati makanan sebelum kembali meneruskan perjuangan ke garisan penamat.
Situasi itu mencetuskan suasana mencuit hati apabila pelari yang sepatutnya sekadar mengambil air dan berehat seketika, kelihatan seperti sedang singgah menikmati jamuan.
Bagi Team Rakus Campers, kemeriahan berkenaan bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi cara mereka memberikan sokongan moral kepada pelari yang bertungkus-lumus menamatkan cabaran masing-masing.
Sorakan, makanan dan semangat komuniti yang ditampilkan turut memperlihatkan bahawa acara larian kini bukan hanya mengenai catatan masa dan persaingan, tetapi juga peluang mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Tawau Marathon 2026 sekali gus meninggalkan pengalaman berbeza kepada peserta apabila water station bukan lagi sekadar tempat menghilangkan dahaga, malah menjadi antara lokasi yang menceriakan perjalanan mereka menuju garisan penamat.