Buang Ego Demi Selesai Agihan Kerusi & Menang PRN, Kata PPBM Sabah

Masidi Manjun berkata, semua parti pembangkang di Sabah perlu mengutamakan objektif membentuk kerajaan negeri, bukannya sekadar bertanding pada PRN bulan depan.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua PPBM Sabah, Masidi Manjun menggesa semua parti pembangkang di Sabah mengetepikan ego masing-masing demi memastikan proses pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept ini dapat diselesaikan dengan baik.

Katanya, mereka perlu menjadikan objektif utama Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk kerajaan negeri sebagai keutamaan.

“Semua harus faham, ia pilihan yang sangat ringkas, iaitu sama ada mahu membentuk kerajaan negeri atau sekadar mahu bertanding.

“Bagi saya, ia bukan soal berapa kerusi anda boleh dapat, tetapi berapa kerusi yang anda boleh menang. Ia penting kerana jika hasrat kita membentuk kerajaan negeri, jadi kita harus buang keegoan masing-masing,” katanya ketika menghadiri majlis santai Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin bersama media hari ini.

Masidi berkata, setakat ini, perbincangan pengagihan kerusi masih berjalan dan ada kerusi yang dituntut lebih daripada sebuah parti.

“Saya diberitahu rundingan ini agak mencabar, Bung Moktar (Radin) sendiri mengakuinya, tetapi saya yakin pada akhirnya ia akan dapat diselesaikan dengan baik.”

Semalam, Bung Moktar yang juga ketua Umno Sabah dan pengarah jentera pilihan raya BN bagi PRN Sabah dilaporkan berkata, rundingan pengagihan kerusi dengan parti pembangkang di negeri itu terbukti sukar, tetapi beliau berharap rundingan dapat dimuktamadkan dalam 2 hari lagi supaya mereka mempunyai peluang baik.

Sementara itu, Masidi mengalu-alukan SAPP menyertai PN dan PPBM sedia membantu parti itu menghadapi PRN Sabah.

“Bagi saya, ini sesuatu yang baik, saya rasa hasrat mereka menyertai PN adalah kerana mereka mahu bersama yang lain untuk mencipta perubahan di Sabah.

“Ia sebenarnya bukan mengenai SAPP saja kerana apabila anda dalam keadaan mahu membentuk kerajaan, jadi kita harus saling tolong-menolong.”

Terdahulu, Presiden SAPP, Yong Teck Lee menyifatkan penyertaan parti itu dalam PN ialah beban berat selepas 12 tahun mereka menentang kerajaan.

Katanya, SAPP menyertai PN disebabkan keadaan politik semasa, khasnya dalam usaha menentang kerajaan Sabah yang diterajui Warisan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1265