MPT Jangka Hilang RM7 Juta Akibat Covid-19

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dijangka hilang pendapatan sebanyak RM7 juta sehingga akhir tahun ini berikutan krisis pandemik Covid-19.

Presiden MPT Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, jumlah itu dijangka boleh meningkat sehingga RM8 juta bergantung kepada perkembangan keadaan semasa.

“Ini termasuk polisi kerajaan yang mahu mengurangkan beban rakyat termasuk pengecualian bayaran tapak penjaja dan sewa kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Sejak PKP dilaksanakan pada Mac lalu sehingga sekarang, MPT sudah kehilangan pendapatan sebanyak RM4 juta,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Tambah Amrullah, berikutan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember depan, MPT turut melanjutkan tiada bayaran tapak sewa penjaja selain rebat kepada beberapa perniagaan lain dibawah kelolaannya.

“Justeru, berdasarkan kajian yang dibuat, kami menjangka akan kehilangan antara RM3 juta hingga RM4 juta lagi sehingga hujung tahun ini.

“Bagaimanapun, MPT terus komited dalam membantu penduduk di daerah ini kehilangan pendapatan selepas perlaksanaan PKP dan PKPB,” katanya.

Justeru, menurut Amrullah, antara langkah MPT dalam membantu rakyat ‘survive’ menerusi perlaksanaan tamu sekitar daerah ini.

Terdahulu beliau merasmikan tapak Tamu Jumaat dan Sabtu Kinabutan Batu 5 (TJSK), di sini, semalam.

“TJSK adalah gabungan dua tamu iaitu Tamu Batu 8 dan Batu 5 sendiri yang diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu di dua lokasi berasingan.

“Selepas ditutup sepanjang PKP, MPT menerusi mesyuarat Majlis Kaunselor memutuskan untuk menutup Tamu Batu 8 dan memindahkannya ke Batu 5 bagi menyediakan tapak perniagaan lebih luas dan selesa buat semua pihak,” tambahnya.

Tambahnya sebanyak 214 tapak gerai penjaja disediakan di TJSK berbanding 184 di Batu 8.

“Dengan pembukaan TJSK ini, ia dapat mengatasi masalah kesesakan di Tamu Batu 8 khususnya menerusi perlaksaan penjarakan fizikal sepanjang PKPP.

“Selain itu, penutupan Tamu Batu 8 juga dibuat atas faktor keselamatan pengunjung kerana ketiadaan parkir serta sering berlaku kemalangan di situ,” katanya.

Sementara itu, penjaja yang ditemui Sahibah Zaid, 59, berharap agar pendapatan perniagaan mereka menjadi lebih baik di TJSK.

“Dari segi keselesaan, sudah tentu di sini lebih luas berbanding di Batu 8.

“Namun, apa yang penting sudah tentu kami mengharapkan tamu ini mampu menarik ramai pengunjung,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3059