BN Menang PRK Slim Dengan Majoriti 5 Kali Ganda Daripada PRU14

Mohd Zaidi Aziz meraikan kemenangannya dalam PRK Slim bersama pemimpin BN dan PAS.

TANJUNG MALIM: Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dalam pilihan raya kecil hari ini dengan majoriti 5 kali ganda lebih banyak berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

BN yang diwakili Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi menewaskan 2 calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Sekaran Subramaniam dengan majoriti 10,945 undi.

Pegawai Pengurus PRK Slim, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan Amir Khusyairi yang mewakili kumpulan Dr Mahathir Mohamad hanya memperoleh 2,115 undi, manakala Santhara Sekaran meraih 276 undi yang menyebabkan beliau hilang depositnya.

Pengumuman itu dibuat di pusat penjumlahan undi di Majlis Daerah Tanjung Malim.

Sebanyak 327 kertas undi ditolak daripada semua 56 saluran peti undi untuk PRK Slim.

Peratusan keluar mengundi sebanyak 68.4%.

Semua 13 pusat mengundi, termasuk undi pos dimenangi BN.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Khusairi menjadi Adun Slim sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Pada PRU14, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim ialah PRK ke-2 yang diadakan dalam normal baru susulan penularan Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

786