SAPP Masuk PN Menjelang PRN Sabah

Ahli Majlis Tertinggi SAPP pada mesyuarat di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: SAPP yang dikenali sebagai pengkritik lantang kerajaan persekutuan mengenai hak Sabah sebelum ini, kini menjadi sebahagian gabungan Perikatan Nasional (PN).

SAPP dalam kenyataan hari ini berkata mesyuarat Majlis Tertinggi ke-196 parti itu mengucapkan terima kasih kepada PN kerana menerima SAPP ke dalam gabungan berkenaan.

“Majlis Tertinggi dalam mesyuarat pada 9 Ogos memutuskan sebulat suara untuk bergabung dengan PN,” katanya.

“Ini kerana SAPP melihat bagaimana kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang tenang dan berkesan mengembalikan keharmonian dan kedaulatan undang-undang dalam pentadbiran Malaysia.

“SAPP percaya PN dapat menyelamatkan Sabah dan Malaysia daripada tuntutan Filipina /Sulu ke atas Sabah.

“Kepercayaan ini terbentuk bahkan sebelum timbulnya isu terbaru oleh ahli politik Filipina untuk memasukkan peta Sabah dalam pasport negara itu.

“SAPP sedar dasar eksplisit kerajaan persekutuan PN untuk memerangi masalah pendatang asing tanpa izin, terutama di Sabah.”

Kenyataan itu ditandatangani presidennya Yong Teck Lee dan timbalan Edward Dagul, Richard Yong We Kong dan Japiril Suhaimin.

Selain itu, pihak terbabit juga merasakan kepatuhan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dicapai, seperti diumumkan Muhyiddin pada Mac ketika beliau melancarkan Kabinet persekutuan yang baru.

“Ketika Kabinet dibentuk, perdana menteri mengamanahkan menteri berasal dari Sabah untuk bertanggungjawab terhadap MA63. Ini adalah langkah praktikal yang penting bagi Sabah,” kata SAPP.

“Selepas 12 tahun sebagai parti pembangkang di peringkat nasional dan negeri, esok akan menjadi permulaan baru bagi SAPP dan ahli yang setia, yang berjuang untuk hak Sabah di Malaysia,” katanya.

Muhyiddin dijangka melancarkan PN esok, menjelang Pilihan Raya (PRN) negeri 26 September ini.

SAPP keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008 selepas kecewa dengan gabungan itu yang konon mengetepikan hak Sabah.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *