Roboh Rumah Suami Curang

Wanita merobohkan rumah akibat suami bermain kayu tiga.

JAKARTA: Berang suaminya ‘bermain kayu tiga’, seorang wanita di Jawa Timur bertindak merobohkan rumah mereka.

Tribun News melaporkan wanita itu bertindak sedemikian selepas diusir suaminya dari rumah berkenaan.

Ia apabila lelaki itu mahu bercerai selepas hubungan sulitnya itu terbongkar.

Pada mulanya, wanita terbabit enggan berpisah dan mahu mempertahankan rumah tangga.

Namun, keadaan menjadi bertambah rumit apabila keluarga suaminya campur tangan.

“Saya tahu mengenai kecurangan suami selepas menerima kiriman gambarnya yang bekerja di Taiwan itu dengan kekasih hati di luar negara, pada bulan lalu.

“Sejak itu, hubungan kami mula dingin seperti sebelum ini.

“Selain gambar yang menjadi bukti, saya juga menerima maklumat suami rupanya sudah menjalin hubungan sulit itu, sejak tiga bulan lalu.

“Saya enggan bercerai tetapi suami dan keluarganya mengusir saya serta anak keluar dari rumah” katanya.

Difahamkan, rumah itu dibina di atas tanah milik suaminya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pucanganom, Hari Prawoto mengesahkan kejadian itu berlaku pada 24 Ogos lalu.

Beliau berkata, ia berpunca daripada masalah rumah tangga pasangan berkenaan.

Menurut Hari, pihaknya sudah menasihatkan supaya masalah berkenaan diselesaikan dengan cara baik tetapi tiada jalan untuk suami isteri itu berdamai.

Dalam pada itu, Ketua Rukun Tetangga, Ngamali pula dilaporkan berkata, rumah itu dirobohkan hasil persetujuan antara kedua-dua pihak.

“Keluarga isteri sudah memberitahu wakil penduduk untuk merobohkan rumah dan pelbagai barangan dibawa ke rumah ibu bapa kepada wanita itu.

“Antara yang dibawa adalah jubin, kayu atap, pintu, tingkap dan bingkainya. Barangan di dalamnya sudah dibawa keluar seminggu yang lalu,” katanya.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *