11 PATI Masuk Ke Tawau Diberkas

TAWAU: Hening Subuh penduduk bertukar hinggar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu tempat persembunyian 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Tawau Lama, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, kumpulan PATI itU dipercayai baru tiba dari Indonesia sebelum bersembunyi di kebun pisang milik penduduk di situ sementara menunggu kenderaan yang diatur oleh tekong darat untuk dibawa ke tempat lain.

Bagaimanapun, kumpulan PATI berusia antara dua hingga 45 tahun itu ‘langkah kiri’ selepas pergerakan mereka diperhatikan polis yang membuat intipan lebih awal di situ.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM  Tawau, Deputi Superintendan Polis Mohd Nazari Ismail berkata, terdahulu pihaknya melancarkan Ops Gelora Khas/Ops Benteng Covid susulan maklumat dan risikan berkaitan kemasukan PATI di lokasi berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan kumpulan Pati berkenaan terkejut selepas tidak menyangka kehadiran pihak berkuasa di tempat persembunyian mereka.

“Seramai lapan lelaki dan tiga wanita termasuk kanak-kanak berjaya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Mohd Nazari, bagaimanapun, hanya seorang daripada suspek mempunyai dokumen perjalanan yang sah, manakala selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Sehubungan itu, semua suspek ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Tekong kumpulan ini dipercayai sengaja memilih untuk menceroboh perairan negara pada waktu awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan.

Dalam pada itu, Mohd Nazari berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat berkaitan sehingga tertangkapnya suspek.

“Kerjasama seumpama ini amat diperlukan pihak berkuasa khususnya dalam usaha mengekang kemasukan Pati dan Covid-19 di daerah ini.

“Masyarakat termasuk komuniti maritim boleh menyalurkan maklumat kepada PPM melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-2831197 bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2730