Faktor Katak Dalam Pilihan Raya Sabah

Bekas timbalan speaker DUN Sabah Johnson Tee berkata, fenomena lompat parti di negeri itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pengundi.

KOTA KINABALU: Hantaran terbaru yang banyak dikongsi dalam kalangan pengguna media sosial menyenaraikan tarikh penting berikut untuk diingat:

  • Tarikh penamaan calon: 12 Sept
  • Tarikh pengundia awal: 22 Sept
  • Tarikh mengundi: 26 Sept
  • Tarikh katak mula melompat: 27 Sept

Hantaran tanpa nama pengarang itu menggambarkan sikap sinis dan kecewa terhadap kecenderungan wakil rakyat untuk “tukar baju” – istilah tempatan bagi perbuatan melompat parti.

Istilah yang digunakan oleh rakyat Sabah bagi mereka yang melompat dari sebuah parti ke parti yang lain ialah “katak” atau dalam bahasa Kadazan Dusun “bohangku”.

Dua perkataan itu digunakan secara bebas selepas pilihan raya umum 2018 apabila 5 Adun Upko meninggalkan Barisan Nasional (BN) menyebabkan kerajaan negeri berusia 2 hari yang diketuai oleh bekas ketua menteri Musa Aman tumbang, dan membuka jalan kepada presiden Warisan Shafie Apdal menggantikan beliau.

Ini memulakan siri lompat parti dari BN ke Warisan.

Bulan lepas, 13 Adun membuat pusingan U untuk menyokong Musa pula.

Adun Inanam Kenny Chua yang mewakili PKR merupakan salah seorang daripada mereka.

Seorang pengundi di kawasan Chua, bekas jururawat yang mahu dikenali sebagai Maria, sedang membeli-belah di pasar Telipot di sini ketika disoal sama ada beliau bimbang bahawa Adun yang dipilih selepas ini juga akan “menukar baju”.

Respons beliau menampakkan wajah yang jengkel dengan berkata, “menukar pendirian politik adalah salah. Mereka sepatutnya menghormati kehendak pengundi yang memilih”.

Bekas timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Johnson Tee berkata, insiden lompat parti menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pengundi di negeri itu dan ramai yang terfikir apakah undi mereka bermakna apa-apa.

Tee, bekas setiausaha agung Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), bimbang sekiranya sentimen sedemikian menyebabkan jumlah keluar mengundi dalam pilihan raya negeri akan datang merosot.

Pemerhati lain berkata, ramai pengundi berasa pilihan raya itu tidak memberikan mereka pilihan yang bermakna.

“Sentimennya ialah kerajaan pimpinan Warisan kelihatan tidak tahu bagaimana untuk mentadbir negeri secara berkesan, namun pihak satu lagi merupakan muka lama yang pernah dikalahkan sebelum ini,” kata seorang pemerhati.

Rakyat Sabah perlu menunggu sehingga 27 September untuk melihat sama ada katak akan melompat semula, sekali gus menyebabkan mereka juga melompat-lompat kemarahan sekali lagi.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1835