Naib Presiden UPKO Sedia Pertahan DUN Kadamaian

Ewon Benedick sedia pertahankan kerusi DUN Kadamaian pada PRN akan datang jika diberi peluang. (Gambar KPLB Sabah)

KOTA BELUD: Naib Presiden Upko, Ewon Benedick, sedia mempertahankan DUN Kadamaian sekiranya sekali pagi diberi kepercayaan oleh pimpinan parti untuk bertanding di situ pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Katanya, masih banyak perancangan pembangunan yang beliau ingin laksanakan di kawasan Parlimen Kota Belud itu, seperti mana yang terkandung dalam pelan induk pembangunan Kadamaian yang dilancarkan Ketua Menteri Shafie Apdal pada Januari.

“Saya bersedia mengangkat cabaran yang akan diberikan oleh pucuk pimpinan sekiranya meminta saya untuk bertanding di DUN Kadamaian.

“Saya juga bersedia menggalas tanggungjawab yang diamanahkan berasaskan manifesto yang menjurus kepada usaha menjayakan pelan induk pembangunan Kadamaian 2020-2035,” katanya kepad pemberita selepas seminar Undang-undang Adat Anak Negeri di Dewan Kadamaian Square hari ini.

Benedick, yang juga menteri pembangunan luar bandar Sabah, berkata, sedar soal calon dan kawasan mana yang ditandingi parti bertanding sedang rancak berlaku namun beliau yakin parti yang mewakili kerajaan akan dapat mencapai kata putus secara muafakat.

“Soal calon, saya percaya ketika ini, semua parti bukan sahaja parti yang mewakili kerajaan negeri dan parti yang membentuk kerajaan persekutuan tetapi juga parti lain yang ingin bertanding pada PRN Sabah sedang merundingkan kawasan dan calon mereka.

“Bagaimanapun tidak adil sekiranya perkhidmatan wakil rakyat selama 2 tahun dibandingkan dengan mereka yang berkhidmat 5 hingga 15 tahun,” katanya lagi.

Pada PRU14, Benedick yang bertanding atas tiket Barisan Nasional memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 3,294 menewaskan 4 calon lain.

Bagaimanapun Upko selepas itu meninggalkan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri bersama Warisan dan Pakatan Harapan.
FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *