Tabika PASTI Terbakar, 44 Pelajar & Guru Selamat

TAWAU: “Abang, tolong kami! Tolong padamkan api. Sekolah kami terbakar!”

Itu jeritan dua orang guru wanita meminta bantuan daripada pekerja bengkel kenderaan selepas bangunan Tabika Pasti Nurul Hannani terbakar, Jalan Kuhara, di sini, hari ini.

Menurut saksi yang mahu dikenali sebagai Din, 29, dalam kejadian pukul 2 petang itu, dia bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 meter, sebelum mendapati api mula marak di bahagian suis utama tingkat satu bangunan separuh kekal berkenaan.

“Saya kemudian mengarahkan guru membawa semua pelajar keluar ke tempat lebih selamat sementara kami cuba memadamkan api.

“Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila api marak terlalu cepat sehingga merebak ke seluruh bahagian atas bangunan,” katanya ketika ditemui wartawan.

Pelajar Tabika Pasti berjaya diselamatkan dan ditempatkan di SJKC Yuk Chin.

Wartawan Borneo Today yang kebetulan berada di lokasi turut membantu mengawal lalu lintas bagi membolehkan pelajar berusia lima dan enam tahun bersama guru Tabika Pasti melintas jalan sebelum mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Jenis (Cina) SJKC Yuk Chin.

Dalam kejadian itu, semua pelajar terpaksa berlari dalam keadaan berkaki ayam tanpa sempat memakai kasut sekolah masing-masing.

Mohd Khushairy

Seorang wanita dipercayai guru tabika berkenaan dilihat beberapa kali pengsan dipercayai terkejut dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Khushairy Deraman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.06 petang sebelum 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi kejadian.

“Api berjaya dikawal pukul 2.30 petang sebelum operasi ditamatkan dua jam kemudian.

“Kebakaran menyebabkan sebuah blok bangunan separuh kekal musnah terbakar 90 peratus, manakala dua blok premis termasuk rumah penduduk mengalami sedikit kerosakan,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Tambah Mohd Khushairy, pihaknya kini sedang menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian yang ditanggung mangsa ekoran kejadian tersebut.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *