PKR Sabah Bidas Pemimpin Persoal Keputusan Parti Isu Logo

KOTA KINABALU: Pemimpin PKR Sabah membidas rakan separti yang memberi alasan autonomi bagi mempersoalkan keputusan pengerusi negeri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim menggunakan logo parti sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah John Ghani mengenai isu penggunaan logo, Ketua Penerangan PKR Sabah Simsudin Sidek mendakwa keputusan menggunakan logo parti sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat MPN pada 20 Ogos lalu.

Beliau berkata, Anwar sudah mengumumkan PKR Sabah akan menggunakan simbol parti sendiri bersandarkan keputusan sebulat suara daripada mesyuarat itu.

“Mesyuarat itu dipengerusikan Christina Chew (pengerusi MPN Sabah) dan dibuat khusus untuk membincangkan isu penggunaan logo dalam PRN Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan mesyuarat itu dihadiri hampir semua barisan MPN Sabah dan ketua cabang.

“Untuk rekod, John Ghani tidak hadir pada mesyuarat itu. Dengan ini, kenyataan beliau seperti mana diterbitkan akhbar adalah lebih merupakan kenyataan peribadi dan bukan kenyataan PKR-MPN Sabah.

“Kenyataan itu dengan jelas menolak dakwaan Anwar tidak faham sentimen Sabah atau isu berbangkit berkaitan ‘autonomi Sabah’ sebagaimana didakwa dalam kenyataan media John,” kata Simsudin.

Minggu lalu, John berkata PKR Sabah mahukan kuasa autonomi untuk menentukan logo mana akan digunakan pada PRN, selepas Anwar mengumumkan parti itu memutuskan bertanding menggunakan logo sendiri pada pilihan raya mengejut itu.

John menggesa ibu pejabat parti itu untuk mempertimbangkan pemberian autonomi kepada PKR Sabah bagi memutuskan perkara berkenaan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1940