Shafie Jawab Tuduhan Anifah Dan Jeffrey

NABAWAN: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menjawab tuduhan pemimpin parti lawan yang mendakwa kononnya beliau bukan berasal dari Sabah.

Dalam kunjungannya di kawasan pedalaman Nabawan, Mohd. Shafie membidas Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman dan Presiden Star, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang berterusan menuduh Warisan sebagai parti politik pendatang haram.

“Ini adalah tuduhan liar. Mereka tidak kehabisan modal untuk bercakap,” kata Presiden Warisan itu di depan hadirin yang kebanyakannya merupakan kaum Murut.

Mohd. Shafie berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Cadangan Projek Pekan Hijau Nabawan, Pekan Hutan Tropika Sapulut, Hab Makanan Zon Pedalaman dan Tanaman Komuniti Paulownia dan Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Nabawan di Dewan Serbaguna Nabawan hari ini.

Tegas beliau, tuduhan tersebut perlu dihentikan dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwa beliau orang Filipina atau parti Warisan milik pendatang asing.

“Ini adalah tuduhan palsu terhadap Warisan. Itulah cara mereka mahu memecah-belahkan rakyat, mereka tidak mampu meyakinkan rakyat menggunakan isu-isu lain,” katanya yang menaruh keyakinan rakyat di pedalaman memahami tipu helah dimainkan pembangkang.

Katanya, rakyat sedar bahawa Ahli Parimen Ranau, Jonathan Yasin adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika ini dan bertanggungjawab menyelesaikan isu pendatang haram.

“Malah, pelbagai dokumen seperti Kad Burung-Burung yang diberikan kepada pendatang haram juga dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Katanya, Jeffrey tidak boleh menerima kerjasama dengan Warisan dan melabelkannya sebagai parti PATI tetapi pada masa sama menerima ahli dari pantai timur untuk menganggotai Star.

Mohd. Shafie yang berasal dari Semporna, turut memberitahu bahawa masyarakat Semporna sendiri risau tentang ancaman keselamatan yang dihadapi dari selatan Filipina kerana memberi kesan terhadap kehidupan harian mereka.

Justeru katanya, sebagai pemimpin dari Semporna, adalah tidak masuk akal jika ada pihak berpandangan beliau mempunyai kaitan dengan ancaman itu sehingga mengancam rakyat sendiri.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4221