Lagi Laporan Polis Dibuat Terhadap Skuad Sabil Di Sabah

Laporan polis berhubung gerakan Skuad Sabil dibuat di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pendekatan politik yang dibawa Skuad Sabil di negeri ini perlu ditolak kerana dibimbangi mewujudkan sentimen keagamaan yang ekstrem dan mungkin akan melahirkan pejuang agama yang berlandaskan keganasan di Sabah.

Sehubungan itu, satu lagi laporan polis dibuat di Balai Polis Karamunsing hari ini berhubung gerakan Skuad Sabil yang dipimpin oleh UMNO.

Presiden Persatuan Suang Lotud Sabah Datuk Fredie Sua berkata, laporan itu dibuat merujuk kepada artikel yang dikeluarkan Borneo Sabah bertajuk ‘Skuad Sabil UMNO Untuk Mainkan Isu Agama Di Sabah’ serta rakaman ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial yang menyatakan ummah memerlukan Skuad Sabil untuk memperkasakan program ummah.

“Saya mewakili penduduk asal Sabah daripada suku kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) dan kaum lain di Sabah mengecam dan menolak sekeras-kerasnya fahaman dan juga pendekatan politik yang cuba dan sedang digerakkan serta disemai oleh Skuad Sabil di negeri ini.

“Ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terang-terangan menyatakan keperluan untuk Skuad Sabil membantu program ummah yang sebenarnya berbaur sentimen keagamaan dan perkauman yang ekstrem dan berkemungkinan besar akan melahirkan pejuang agama berlandaskan fahaman keganasan di Sabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, keadaan itu menyebabkan rakyat Sabah yang selama ini hidup harmoni dan saling hormat menghormati di dalam masyarakat majmuk pelbagai agama dan kepercayaan serta adat dan norma hidup yang menghormati undang-undang berasa takut.

“Saya bimbang salah faham dengan perjuangan yang didukung oleh fahaman peperangan seperti mana yang dimaksudkan oleh perkataan ‘Sabil’ menurut terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2917