PKR Muktamad Guna Lambang Sendiri Dalam PRN Sabah

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, parti itu membuat keputusan untuk menggunakan lambangnya sendiri dalam PRN Sabah akan datang.

PETALING JAYA: PKR memutuskan untuk mengunakan lambang parti sendiri dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata, walaupun terdapat cadangan supaya PH dan Warisan menggunakan 1 lambang dalam menghadapi lawan, namun parti itu memuktamadkan untuk menggunakan lambang mata miliknya.

“Ada cadangan (PH, Warisan guna 1 lambang), tetapi PKR memutuskan untuk menggunakan lambang PKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis kemasukan ahli baru PKR di Port Dickson hari ini.

Mengulas soal agihan kerusi, termasuk dengan Warisan, Anwar yang juga pengerusi PH berkata, rundingan akan dibuat secara adil dan PKR akan mempertaruhkan calon berwibawa.

“Tradisi rundingan diteruskan supaya ada konsensus, pembahagiaan adil dan PKR akan tentukan calon kita berkelayakan dan berwibawa,” katanya.

Ditanya isu 6 ahli Parlimen Amanah yang dikatakan akan melompat parti meninggalkan PH, Anwar berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

“Tak ada asas, saya belum dengar akan lompat, ini politik dia cakap sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) Sabah berkata, pihaknya bersedia mempertimbangkan cadangan menggunakan lambang Warisan untuk gabungan itu bertanding pada PRN Sabah.

Pengerusi PH Sabah, Christina Liew berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan kepemimpinan PKR, DAP dan Amanah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1525