Tolak Politik Perkauman Yang Bawa Perpecahan Di Sabah

Muhammad Abdul Karim mendakwa, Skuad Sabil diwujudkan untuk menyemarakkan idealisme perjuangan yang dikhuatiri menyeleweng dari norma perpaduan kaum khususnya di Sabah. – Gambar Astro AWANI

LAHAD DATU: Skuad Sabil Sabah yang dibentuk dalam kalangan Pemuda UMNO dikhuatiri akan memainkan sentimen keagamaan dalam usaha parti itu berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Penggiat badan bukan kerajaan belia dan ahli Parti Warisan Sabah (Warisan), Muhammad Abdul Karim mendakwa, Skuad Sabil yang mewakili gerakan anak muda UMNO diwujudkan untuk menyemarakkan idealisme perjuangan yang dikhuatiri menyeleweng dari norma perpaduan kaum khususnya di Sabah.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu terhadap penubuhan Skuad Sabil yang disifatkannya menimbulkan kesangsian kerana peranannya dilihat sebagai jentera parti.

Menurut Muhammad, rakyat Sabah menolak politik perkauman dan sentimen agama yang akan membawa kepada perpecahan.

“Sentimen keagamaan dalam politik yang dibawa UMNO tidak sepatutnya diamalkan di Sabah kerana negeri ini terkenal dengan masyarakat majmuk yang hidup harmoni.

“Oleh itu, kita meminta pihak polis untuk melakukan siasatan dan berjaga-jaga dengan skuad ini sepanjang pilihan raya nanti,” katanya kepada wartawan selepas membuat laporan polis berkenaan pada Khamis.

Muhammad Abdul Karim yang seorang peguam berkata, Sabah merupakan sebuah negeri yang terdiri daripada pelbagai etnik berlatar belakang kepercayaan dan agama yang berbeza-beza, justeru denga wujudnya Skuad Sabil pasti mengancam hubungan antara etnik yang ada.

“Kita mahu pilihan raya kali ini berjalan dengan aman dan tidak berlaku provokasi melampau seperti pada Pilihan Raya Kecil Kimanis yang lalu di mana berlaku provokasi yang menggugat keamanan,” katanya. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *