Hormati Keputusan Parti – Ahmad Zahid

Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu menghormati keputusan parti melantik Ketua Umno bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah lebih munasabah mana-mana pengerusi perhubungan Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri mengetuai jentera pilihan raya sesebuah negeri.

Menurutnya, semua pihak juga perlu bersatu hati dan berada dalam satu wadah yang sama bagi mencapai matlamat parti dalam pilihan raya.

“Benar perbezaan pendapat itu harus diraikan tetapi kita harus menghormati ‘establishment’ yang sudah ditentukan.

“Maka lebih munasabah mana-mana pengerusi perhubungan negeri dan juga pengerusi BN negeri mengetuai jentera dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) apatah lagi dalam PRN,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau yakin masalah itu dapat diselesaikan sebaik mungkin dan semua pihak di setiap peringkat kepimpinan bersama-sama merealisasikan matlamat dalam PRN Sabah kali ini.

“Apa yang berlaku di Sabah sebenarnya masih boleh dijernihkan dan pada pendapat saya jangan beri kekuatan kepada musuh politik kita dan mereka tentu mahu melihat perpecahan berlaku dalam kalangan kita.

“Saya yakin perbezaan pendapat ini akan dapat diselesaikan jika kita terus istiqamah dan bersatu hati untuk menentukan matlamat parti bagi memenangi pilihan raya ini,” katanya pada program ramah mesra di Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Felda Besout 3, Slim River, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, setakat ini Umno masih belum menentukan calon bertanding dan pembahagian kerusi dalam pilihan raya itu.

“Tetapi saya yakin apa yang sudah dibincangkan dengan kepimpinan Umno Sabah supaya semua faktor yang mewakili sayap dan juga mewakili umur, profesional dan juga muka baru akan diberikan keutamaan.

“Ini supaya (ada) wajah perubahan dan dapat memberi harapan baru kepada semua pengundi di Sabah,” katanya.

Terdahulu media melaporkan beberapa ketua Umno bahagian Sabah dan sekumpulan pemimpin parti itu membantah pelantikan Bung Moktar sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya parti itu pada PRN bulan depan.

Wakil kumpulan itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dilaporkan berkata, pemimpin yang menjadi Ketua Jentera Pilihan Raya mestilah bebas daripada persepsi negatif yang boleh dimanipulasi oleh pihak lawan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah dengan hari penamaan calon pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

699