Kanak-Kanak Maut Akibat Lemas Dalam Kolam

Lokasi mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain bersama abangnya di kawasan kebun Kampung Layang-Layangan, Labuan. Gambar Juwan Riduan

LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki lemas dipercayai terjatuh ke dalam kolam di Kampung Layang-Layangan, Labuan, petang semalam.

Mangsa, Mohammad Nazrullah Hazizul Fahmi, 8, dikatakan bermain bersama abangnya di kawasan berkenaan sebelum terjatuh ke dalam kolam terbabit.

Kejadian disedari nenek mangsa apabila abang mangsa yang berusia 10 tahun menjerit meminta pertolongan.

Wanita itu berjaya menyelamatkan abang mangsa, manakala mangsa lemas di kolam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 5.35 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dimaklumkan sudah berada di tempat kejadian dan membawa kanak-kanak terbabit ke Hospital Labuan.

“Polis yang menjalankan siasatan lanjut di hospital mendapati mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan punca kematian dipercayai akibat lemas.

“Siasatan mendapati, mangsa bersama abangnya berada di kawasan kolam yang terletak berdekatan kebun dengan nenek mereka. Kebun berkenaan diusahakan neneknya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, pasukan bomba yang dihubungi berjaya menemui mangsa di dalam kolam sebelum dikejarkan ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah dapat dikesan dan kes disiasat sebagai kes mati mengejut,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *