Tawaran Untuk Berpaling Tidak Gugat Pendirian Mohamaddin

Mohamaddin ketika ditemui media.

LAHAD DATU: Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mendedahkan beliau sering menerima tawaran untuk berpaling dari Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Menurutnya, tawaran yang datang dalam pelbagai bentuk itu dirasakannya sebagai desakan untuk mengubah pendiriannya pada perjuangan parti.

Katanya, saban masa desakan demi desakan diterima namun selaku pemimpin yang berpegang pada prinsip parti, beliau tidak akan tergugat dengan desakan dan tekanan.

Ketika ditanya media mengenai bekas Setiausaha Sulit Kanan beliau yang dikehendaki berhubung kes rasuah membabitkan RM3.7 juta yang dibayar sebuah syarikat untuk mendapatkan projek kementerian berkenaan, Mohamaddin menegaskan ianya perlu diselesaikan.

“Saya tiada komen mengenai hal ini… apabila perkara itu keluar, (telah) datang pelbagai ancaman dan tawaran kepada saya.

“Saya rasa ini adalah tekanan daripada pihak tertentu agar saya berpaling dan menyokong kerajaan (waktu itu),” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan WARISAN Bahagian Silam, di sini, semalam.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu mendesak pihak terbabit sekiranya mempunyai bukti, mereka boleh merujukkannya di mahkamah.

“Tariklah saya ke mahkamah jika ada bukti … kemukakan fail, kita lawan di mahkamah,” katanya.

Mengenai sokongan rakyat terhadap parti, Mohamaddin yang juga Ketua Bahagian WARISAN Lahad Datu meyakini rakyat masih menyokong parti.

Beliau mengajak jentera parti dan kepimpinan bahagian bersatu memperkukuhkan parti dan bekerja demi memperkuatkan parti.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2766