ARMADA Tawau Harus Terus Kekal Dalam Perjuangan & Aktif Tarik Sokongan

Nizam (tiga kanan) menerima cenderakenangan daripada Khazarudin.

TAWAU: Semua ahli ARMADA Tawau diseru terus kekal dalam perjuangan dan mempergiatkan lagi aktiviti yang boleh menarik sokongan belia untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di daerah ini.

Ketua Parti BERSATU bahagian Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata ARMADA Tawau perlu pelbagaikan program untuk menarik anak muda menyertai parti kerana mereka merupakan jentera yang akan bergerak pada masa akan datang.

“Anak muda adalah pewaris kepimpinan masa depan yang akan memastikan negara terus kukuh dari segi ekonomi serta berjuang mengekalkan kedaulatan negara,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan ARMADA Bersatu Bahagian Tawau, di sini semalam.

 Nizam juga berkeyakinan Bersatu Tawau akan dapat mencapai sasaran 10 ribu ahli menjelang akhir tahun ini melalui pelbagai usaha yang sedang giat dirancang ketika ini.

“Pada masa ini, ahli kita sudah mencecah 7000 orang dan berkeyakinan ianya akan bertambah kerana parti Bersatu bersih dan diyakini membantu memperjuang nasib rakyat melalui kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Sementara itu, Ketua ARMADA Tawau Khazarudin Kahar berkata pemimpin muda perlu lebih ramai diketengahkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi membolehkan mereka beradaptasi dengan landskap politik negeri yang mencabar.

Khazaruddin ketika memberikan ucapan perasmian dalam majlis tersebut.

“Pihak ARMADA Tawau berharap dalam PRN akan datang pucuk pimpinan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) menampilkan separuh calon yang bertanding adalah dalam kalangan pemimpin muda.

“Kami minta lebih ramai golongan muda sebagai calon bagi mempersiapkan mereka dengan tanggungjawab menjaga negara, tambahan pula di Parlimen Tawau ini sebanyak 60 peratus pengundi adalah terdiri daripada golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, ARMADA Tawau turut meminta agar penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dikekalkan sebagai calon di kerusi tersebut.

“Kami semua kenal keperibadian Datuk Nizam yang prihatin dengan masalah akar umbi di kawasan ini, di samping itu pengalaman dan pengetahuannya juga tidak perlu dipertikai,”katanya.

Dalam pada itu, Armada Tawau telah mempersiapkan jentera PRN di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Tawau yang meliputi tiga DUN iaitu Sri Tanjung, Balung dan Apas untuk membantu kemenangan calon PN.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *