Geran Tanah Penduduk Hasil Usaha Kerajaan BN, PPBM Sabah Beritahu Shafie

Wakil Pemuda Tuaran menghadiahkan baju T kepada pengerusi PPBM negeri Hajiji Noor (kanan).

KOTA KINABALU: Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor berkata, geran tanah yang diberikan oleh presiden Warisan Shafie Apdal kepada penduduk kampung di negeri itu adalah hasil kerja kuat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Hajiji mendakwa Shafie berbohong kepada rakyat berhubung geran tanah tersebut, apabila ketua menteri itu berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan Warisan pimpinannya.

Shafie berkata demikian dalam siri lawatannya ke daerah-daerah baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan Shafie jelas menunjukkan ia bertujuan memancing undi dan meraih sokongan daripada rakyat.

“Geran tanah itu sebenarnya disediakan lebih awal oleh Unit Perkhidmatan Tanah Anak Negeri (Pantas) yang dimulakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Pantas adalah usaha murni untuk mempercepatkan pengeluaran geran tanah anak negeri (NT) kepada mereka yang menduduki tanah adat anak negeri (NCR) dengan dana daripada kerajaan pusat berikutan kelewatan dalam proses ukur tanah.

“Geran tanah adat telah diproses melalui Pantas, tetapi kerajaan lepas kesuntukan masa, jadi ia tidak dapat menyerahkannya kepada penduduk.

“Shafie harus berhenti menggunakannya untuk meraih sokongan rakyat pada saat populariti Warisan semakin merosot,” katanya sewaktu merasmikan persidangan Pemuda PPBM Tuaran.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *