Leiking Bidas Pihak Dakwa Warisan Mesra PTI

Timbalan presiden Warisan Darell Leiking.

KOTA KINABALU: Pesaing politik parti kerajaan Warisan hari ini didakwa cuba meraih sokongan popular dengan memfitnah parti itu kononnya “mesra pendatang asing tanpa izin”.

Timbalan presiden Warisan Darell Leiking berkata, Warisan maupun rakan kongsinya, iaitu Upko, DAP dan PKR tidak akan sesekali menyokong usaha mengabsahkan pendatang tanpa izin.

Beliau berkata, parti pembangkang tempatan yang mendakwa bersifat pelbagai kaum, tetapi dari segi amalinya hanya memberi tumpuan kepada kumpulan tertentu.

Umno, STAR dan PBS antara lain, mendakwa Warisan mesra pendatang asing, terutama berhubung rancangan untuk memperkenalkan pas sementara Sabah (PSS) kepada golongan itu.

Rancangan itu bagaimanapun telah ditarik balik.

Isu itu dilihat sebagai punca kekalahan Warisan di tangan Umno pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis baru-baru ini.

Leiking berkata, kerajaan persekutuan tidak harus memaksa negeri itu menerima dasarnya berkaitan pendatang asing tanpa izin tanpa berunding dengan kerajaan Sabah.

“Masalah individu tanpa kerakyatan adalah isu serius, kenapakah mereka hanya memberi tumpuan pada masalah individu tanpa kerakyatan di Semenanjung? Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pun mungkin tidak faham masalah di Sabah,” katanya.

Leiking berkata, bekas menteri dalam negeri, Muhyiddin Yassin yang kini merupakan perdana menteri, cuba memperkenalkan PSS, “tetapi malangnya Warisan dipersalahkan”.

Beliau berkata, presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menghubungi perdana menteri ketika itu, iaitu Dr Mahathir Mohamad dan memberitahu bahawa “kami tidak mahu PSS”.

“Tetapi ia adalah cadangan beliau (Muhyiddin) dan kini mereka bercakap tentang IMM13”, iaitu dokumen standard bagi mengatasi masalah pendatang tanpa izin dan individu tanpa kerakyatan di Sabah.

Pada masa ini, pendatang asing memiliki IMM13, Surat Burung-burung dan Sijil Banci di Sabah.

Bekas timbalan menteri dalam negeri Azis Jamman.

Bekas timbalan menteri dalam negeri Azis Jamman berkata, terdapat banyak dokumen IMM13 palsu di negeri itu.

“Jadi apabila diperkenalkan ini dan pada masa sama dokumen palsu masih tersebar, bagaimana masalah boleh diatasi?” katanya.

“Mereka perlu jelaskan mekanismenya. Bagaimana untuk tentukan yang mana yang palsu dan mana tidak? Semua ini tidak dijelaskan kepada rakyat Sabah.”

Pengagihan kerusi pada pilihan raya umum

Sementara itu Leiking juga disoal bagaimakah Warisan bakal menangani isu pengagihan kerusi etnik Kadazandusun Murut (KDM) dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, rakan kongsi Warisan tidak melihat kerusi berkenaan berdasarkan pertimbangan kaum.

Beliau berkata, Warisan dan rakan kerjasamanya merupakan parti pelbagai kaum. Malah Upko yang sebelum ini dilihat sebagai parti KDM, telah melalui proses penjenamaan semula.

“Bila kita agih kerusi, kita tidak dasarkan kepada satu-satu parti, tetapi atas kemampuan dan persefahaman antara parti dalam gabungan kami.

“Anda tidak boleh kata, ‘saya wakili komuniti ini, justeru komuniti saya kuasai semua kerusi’. Saya fikir itu salah, tetapi kita harus ada strategi.

“Kita dapat lihat bagaimana Upko melangkah maju daripada sebuah parti KDM kepada parti pelbagai kaum. Jadi saya tidak fikir kita boleh katakan bahawa ia adalah parti KDM,” katanya.

Leiking berkata, Shafie akan berbincang dengan pemimpin parti gabungan cara terbaik untuk menangani 73 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *