Ayam Diimport Dari Brazil Positif COVID-19

Gambar Hiasan

BEIJING: Sampel kepak ayam sejuk beku yang diimport ke bandar selatan China, Shenzhen dari Brazil diuji positif COVID-19, menurut wakil kerajaan bandar itu, semalam.

Penemuan itu menimbulkan kebimbangan bahawa penghantaran bekalan makanan tercemar terbabit berupaya mewujudkan gelombang baharu COVID-19.

Pusat kawalan penyakit tempatan menguji sampel permukaan yang diambil dari kepak ayam sebagai rutin saringan yang dilaksanakan terhadap daging dan bekalan hidupan laut yang diimport sejak Jun lalu, ketika gelombang baharu yang berlaku di Beijing dikaitkan dengan pusat makanan borong Xinfadi, di bandar ini.

Kerajaan Shenzhen mengenal pasti bahawa kilang pemprosesan daging dimiliki Aurora, iaitu syarikat pemproses ayam dan daging babi ketiga terbesar di negara itu adalah sumber kepada bekalan kepak ayam berkenaan.

Kerajaan tempatan mengenal pasti melalui nombor pendaftaran melalui maklumat di laman web syarikat berkenaan. Apabila diperiksa melalui rekod Brazil, nombor itu dihubungkan dengan fasiliti Aurora di negeri selatan Brazil, Santa Catarana.

Aurora, iaitu sebuah syarikat yang tidak tersenarai dalam bursa saham, bagaimanapun tidak memberi maklum balas ketika dihubungi.

Kementerian Pertanian Brazil pula berkata, pihaknya berunding dengan pasukan teknikal membabitkan perkara itu tanpa mengulas lebih lanjut.

Penemuan itu berlaku sehari selepas ditemui tanda yang menyebabkan COVID-19 di bungkusan udang sejuk beku dari Ecuador.

China meningkatkan saringannya di pelabuhan di saat kebimbangan tercetus terhadap makanan import.

Berdasarkan notis, pihak berkuasa kesihatan Shenzhen mengesan dan menguji setiap individu yang mempunyai kontak atau menyentuh produk makanan yang berpotensi tercemar dengan semua hasil keputusannya ialah negatif.

Sementara itu, pihak kedutaan Brazil di Beijing juga tidak memberi maklum balas ketika dihubungi.

“Adalah sukar untuk menyatakan di peringkat mana ayam itu mendapat jangkitan, ” kata pegawai pengeksport daging Brazil yang berpangkalan di China.

Ibu Pejabat Kawalan dan Pencegahan Epidemik Shenzhen berkata, orang awam perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangan risiko jangkitan daripada bekalan daging dan hidupan laut yang diimport.

Selain membuat saringan terhadap semua bekalan daging dan hidupan yang tiba ke pelabuhan utama dalam tempoh beberapa bulan ini, China juga menggantung sesetengah bekalan daging import dari beberapa sumber termasuk Brazil sejak pertengahan Jun.

Kluster pertama kes COVID-19 dikaitkan dengan pasar hidupan laut Huanan di bandar Wuhan dengan kajian awal mendapati bahawa virus itu berasal daripada haiwan yang dijual di pasar berkenaan.

Li Fengqin, yang mengetuai makmal mikrobiologi di Penilaian Risiko Keselamatan Makanan, Pusat Kebangsaan China, pada Jun lalu memberitahu pihak media bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa jangkitan baharu COVID-19 berpunca daripada makanan sejuk beku yang tercemar.

Ini kerana, virus itu didapati boleh hidup sehingga tempoh dua tahun pada suhu di bawah 20 darjah Celsius, namun saintis mengatakan bahawa tiada bukti kukuh sehingga kini yang menunjukkan bahawa COVID-19 boleh disebarkan melalui makanan sejuk beku.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *