Penduduk Bimbang Penjual Rokok Positif Covid-19 Di Tawau

Kawasan letak kereta di Pasar Ikan Tawau

TAWAU: Orang ramai khususnya perokok tegar gempar selepas seorang wanita penjual rokok kretek di daerah ini disahkan positif Covid-19, semalam.

Tinjauan di beberapa lokasi sekitar Pasar Ikan Tawau dan terminal bas yang sering menjadi lokasi penjualan rokok berkenaan, mendapati tiada kelibat si penjual.

Ia dipercayai berpunca daripada kebimbangan orang ramai kerana berisiko terdedah dengan jangkitan penyakit berkenaan.

Terminal bas henti-henti bandar Tawau.

Dalam masa sama, penjual rokok kretek juga dilihat bersikap ‘menghilangkan diri’ kerana bimbang menjadi sasaran tangkapan pihak berkuasa yang giat membanteras penularan Covid-19.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan satu kes positif Covid-19 seorang wanita yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Suspek, 40-an, ditahan polis pada Ahad lalu, selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri, ketika sedang leka menjual rokok kretek berhampiran Pasar Ikan Tawau.

Suspek kemudian dihantar ke lokap untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Tawau Jenis 2, Jalan Chong Thien Vun bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran ketika dihubungi wartawan, hari ini, berkata, sebaik selesai menjalani ujian antigen suspek disahkan positif, semalam.

“Pesakit kini dirawat di Hospital Tawau.

“Berdasarkan prosedur operasi standart (SOP), semua pesalah tangkapan polis, diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum tindakan lanjut diambil termasuk dihantar ke penjara,” katanya.

Ia bertujuan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 di daerah ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas mengesahkan pesakit Covid-19 terbaharu di Tawau adalah penjual rokok kretek yang ditahan pihaknya.

“Saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berada ditempat awam.

“Sentiasa amalkan penjagaan kendiri termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial selain menghindari kontak dengan individu yang diragui tahap kesihatan mereka seperti Pati,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

13639