Ekonomi Sabah Merosot Perlukan Solusi, Bukan Bagi Alasan, Kata SAPP

Presiden SAPP Yong Teck Lee menunjukkan salinan laporan Bank Dunia Disember 2019 yang bertajuk “Malaysia Economic Monitor – Making Ends Meet”.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Yong Teck Lee berkata, kerajaan Sabah yang diterajui Shafie Apdal seharusnya mencari jalan penyelesaian segera yang berkesan untuk menangani kemerosotan ekonomi daripada terus menyalahkan Covid-19 serta politik.

Presiden SAPP itu berkata, wabak Covid-19 hanya muncul pada Februari lalu sedangkan ekonomi negeri itu mula merosot pada 2018 iaitu apabila kerajaan Sabah yang baru menggangu produksi dan aktiviti ekonomi yang sedang berjalan.

“Keyakinan perniagaan goyah ketika kerajaan Sabah dilihat tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan kesucian kontrak undang-undang.

“Alasan yang lemah bahawa kemerosotan di Sabah bermula sejak pemerintahan kerajaan dahulu adalah palsu kerana pada 2017 menyaksikan pertumbuhan KDNK yang tinggi sebanyak 8.2%.

“Pada 2018, KDNK turun hanya 1.5%, salah 1 yang terendah di negara ini manakala tahun lalu, KDNK adalah 0.5% yang bermaksud tidak berkembang.

“Apa yang ada pada 2020 dan 2021? Kedai ditutup, orang kehilangan pekerjaan dan aktiviti ekonomi berhenti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika Sabah memerlukan semua bantuan persekutuan yang boleh diperoleh, Shafie pula memilih untuk melobi jawatan perdana menteri.

“Seolah-olah tidak cukup kepintaran dengan menyalahgunakan aset kerajaan Sabah untuk merancang penggulingan perdana menteri, ketua menteri kita seolah mabuk asmara pada fantasi untuk membayangkan bahawa Anwar Ibrahim, ketua pembangkang di Parlimen, sebagai timbalannya.

“Sepatutnya, demi kepentingan rakyat, Warisan harus meninggalkan kebodohan untuk terlibat dalam komplot menjatuhkan perdana menteri,” katanya.

Yong berkata, beliau terkejut apabila mengetahui ekonomi Sabah terhenti ketika menghadiri mesyuarat Institut Kajian Pembangunan (IDS) iaitu sebuah badan pemikir kerajaan tahun lalu.

“Pengerusi IDS ketika itu, Simon Sipaun, yang terkenal dan sangat dihormati bersama pihak pengurusannya telah menganjurkan taklimat oleh Bank Dunia pada awal tahun ini.

“Sudah jelas bahawa Malaysia, bahkan sebelum Covid-19 muncul, menghadapi angin kencang. Laporan itu mengingatkan saya kepada Krisis Kewangan Asia 1997/98 ketika pasaran saham Asia runtuh dan banyak bank terpaksa ditutup.

“Sekarang apabila seorang pemimpin Warisan, Darell Leiking mengambil alih jawatan sebagai ketua IDS, saya berharap pihak pengurusan IDS akan terus memaklumkan kepada ketua menteri dan Kabinetnya bahawa pandangan mereka tentang gambaran Sabah yang cerah di bawah Warisan hanyalah khayalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pengumuman kerajaan Sabah yang konon menerima pelaburan berbilion ringgit.

“Selepas perjalanannya ke China pada April 2019, ketua menteri mendakwa berjaya mendapatkan pelaburan bernilai RM20 bilion.

“Pelaburan kimia petrol bernilai RM13 bilion lagi oleh syarikat Belanda (Burel) di Lahad Datu Palm Oil Industrial Cluster (POIC) yang diumumkan Menteri Industri Sabah serta pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM6 bilion diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa (ketika itu), Darell Leiking, selepas lawatannya ke Amerika Syarikat.

“Selain itu, banyak lagi pengumuman lain oleh menteri termasuk Tan Chong Motors sebanyak RM600 juta, KK City Resort RM5 bilion, landasan kereta api dari Kota Kinabalu ke Kudat (RM5.2 bilion), Lok Kawi Resort (RM 7 bilion), empangan Papar (RM3 bilion).

“Pengumuman berjumlah lebih dari RM70 bilion tetapi di mana wangnya?,” soal Yong. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *