Tunjuk Bukti Kami Terima Bayaran Tinggalkan WARISAN – Mantan Adun

TAWAU; 13 OGOS 2020 (Khamis): Tiga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing bagi kawasan Sebatik, Balung dan Tanjung Batu meminta pihak yang mengatakan mereka menerima ganjaran atau bayaran kerana bertindak melompat keluar dari parti WARISAN tampil mengemukakan bukti tuduhan mereka.

Adun Sebatik Datuk Muis Picho berkata, sekiranya mereka yang digelar sebagai ‘katak’ menerima bayaran jutaan ringgit, mereka yang memfitnah juga boleh merujuk kepada Ketua Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri kerajaan sementara Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal samada mereka pernah dibayar dahulu untuk masuk dalam parti Warisan sekaligus memberi kemenangan mutlak kepada parti itu memerintah Sabah.

Beliau berkata demikian di Tawau memperjelas tindakan ketiga ADUN berkenaan keluar dari parti WARISAN dan menyokong bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Menurutnya, dahulu mereka keluar dari UMNO dan menyertai WARISAN kerana mahu pemerintahan negeri ini sentiasa selari bersama kerajaan Persekutuan sebagai pemerintah negara dan bukan menjadi pembangkang seperti hari ini.

Sementara itu, mantan ADUN Balung Datuk Osman Jamal turut meluahkan kekecewaan berikutan kemasukan mereka dalam WARISAN seolah-olah tidak diterima pucuk pimpinan itu dengan ikhlas termasuk melambat-lambatkan kemasukan cawangan-cawangan hampir dua tahun.

Beliau turut memperjelaskan isu tanah yang beliau andaikan sebagai ‘Lembu punya susu, sapi dapat nama’.

Dalam pada itu, Mantan Adun Tanjung Batu Datuk Hamisa Samad berkata, apapun tuduhan orang ramai mengenai tindakan mereka keluar masuk parti, hanya mereka yang tahu dan ia jauh sekali untuk survival dan kepentingan diri sendiri.

Beliau berkata, banyak contoh pemerintahan negeri yang tidak seiring kerajaan persekutuan akan menyukarkan pembangunan dan menyulitkan kehidupan rakyat dari segi penyaluran peruntukan di sesebuah kawasan.

Mengenai segelintir pemimpin di kawasan Kalabakan yang menguar-uarkan tentang usaha mereka yang kononnya mencadangkan pewujudan daerah Kalabakan, beliau menegaskan, rakyat di kawasan berkenaan tahu perjuangan pemimpin terdahulu yang telah lebih awal mencadangkan kewujudan daerah itu.

Selepas hampir beberapa minggu mendiamkan diri dan menerima pelbagai tohmahan dan fitnah kerana bertindak keluar dari parti Warisan Sabah, ketiga-tiga Adun berkenaan tampil memperjelas isu berkenaan.

Memgenai tindakan kepada mereka sekiranya tidak terpilih sebagai wakil rakyat pada masa akan datang, mereka menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.

SUMBER: #BESTAWAUfm

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6610