PRN Sabah: SPR Diminta Sediakan SOP Yakinkan Rakyat Keluar Mengundi

Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang mampu meyakinkan rakyat untuk keluar mengundi dan memudahkan semua pihak yang terlibat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.  

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata ini bagi meredakan kebimbangan banyak pihak terutamanya rakyat di negeri itu berikutan pandemik COVID-19 masih belum berakhir. 

“Saya mahu SPR meletakkan satu SOP yang cukup meyakinkan rakyat supaya rakyat turun mengundi dan minta juga Jabatan Kesihatan bekerjasama supaya sama ada calon, sama ada yang dikempen, sama ada tukang kempen tidak dicemari virus ini.

“Sebab yang inilah membimbangkan rakyat Sabah bagaimana kita (mahu) berhadapan dengan PRN sekiranya tidak ada SOP lebih ketat diletakkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata SOP itu antara lain juga penting bagi memastikan proses berkempen dapat berjalan lancar dengan calon parti yang bertanding boleh berkempen dan bertemu rakyat, namun masih mematuhi prosedur berkaitan.

“Kita mahu rakyat selamat, calon pun selamat, tukang kempen pun selamat. Bermakna keselamatan dan kesihatan perlu diutamakan,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari  dari tarikh itu.

Pada 29 Julai, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu, namun Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Sabah di Kota Kinabalu pada 17 Ogos ini bagi membincangkan tarikh penting urusan pilihan raya seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *