Pengaruh Musa Aman Masih Kuat, Belum Tiba Masa Berundur, Kata Penganalisis

Arnold Puyok berkata, Musa Aman masih mempunyai pengaruh kuat dan mendapat penghormatan tinggi daripada ahli politik di Sabah.

KOTA KINABALU: Seorang penganalisis politik tidak bersetuju dengan tanggapan kes bekas ketua menteri, Musa Aman sudah melewati zaman kemuncaknya dalam politik.

Ia susulan kenyataan Presiden Parti Cinta Sabah, Anifah Aman semalam yang meminta abangnya, Musa berundur dan memberi laluan kepada generasi baru untuk memerintah Sabah.

Timbalan dekan Universiti Malaysia Sarawak, Arnold Puyok memahami apa yang cuba disampaikan Anifah, namun beliau percaya masih banyak yang boleh dilakukan bekas pemimpin nombor satu negeri itu, lebih-lebih lagi dengan pengalamannya dalam politik dan pentadbiran negeri.

Katanya, Musa yang juga penyandang kerusi Sungai Sibuga masih mempunyai pengaruh kuat dan mendapat penghormatan tinggi daripada ahli politik di Sabah.

“Apabila timbul perkara seperti memberi laluan kepada pemimpin baru, tidak dinafikan setiap orang mempunyai pendapat dan cadangan mereka sendiri, tetapi bagi Musa, saya fikir dia mempunyai kekuatan yang boleh diperhitungkan.

“Bagaimana anda mahu jelaskan kebolehan beliau (Musa) mendapat sokongan daripada 32 Adun untuk menjatuhkan Shafie Apdal? Bukankah ia sesuatu yang menakjubkan?” katanya kepada FMT.

Pada 29 Julai lalu, Musa mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru, selepas mendapat sokongan daripada 33 Adun Sabah.

Seramai 13 daripada Adun yang berpaling tadah terhadap kerajaan negeri pimpinan Shafie datang daripada Warisan, Upko, PKR serta DAP.

Bagaimanapun, usaha Musa gagal apabila Shafie berjaya mendapatkan persetujuan Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri.

Seramai 33 daripada Adun itu memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Juhar.

Puyok berkata, Anifah berpotensi menjadi calon ketua menteri.

”Ramai berpendapat sebegitu (Anifah sebagai calon ketua menteri) kerana beliau dilihat boleh diterima oleh semua orang dan beliau juga mempunyai pandangan sederhana serta seorang yang pro-Sabah.”

Selain Anifah, katanya, Presiden STAR, Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS, Maximus Ongkili juga boleh dipertimbangkan sebagai calon ketua menteri kerana pengaruh mereka ke atas pengundi Kadazandusun Murut (KDM).

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, berkata jika Musa mahu memberi laluan kepada orang lain, mereka yang berminat perlu membuktikan diri mempunyai kemampuan mentadbir Sabah.

”Seperti mana pemilihan calon (pilihan raya) itu haruslah bersandarkan merit dan bukannya kuota.

”Kita lihat setiap kali menjelang penamaan calon, ada pihak memainkan isu calon muda dan wanita misalnya, tetapi jika melobi menggunakan kuota orang muda atau wanita, akhirnya kalah dan hanya akan merugikan parti sendiri.

”Bukan itu saja, dalam konteks lebih besar, jika meletakkan calon tiada kemampuan, sesebuah parti itu dalam kedudukan bahaya kerana kekurangan majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan.”- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2059