Pesta Dadah: 3 Wanita & Dua Lelaki Didenda, Penjara

TAWAU: Lima warga tempatan yang terlibat dalam pesta dadah dikenakan denda dan dipenjara, di Mahkamah Majistret, hari ini.

Empat daripadanya termasuk tiga wanita dan seorang lelaki didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah menyalah gunakan dadah.

Kesemua tertuduh masing-masing berusia antara 21 hingga 30 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, antara jam 1.35 petang, 30 Jun sehingga jam 11 pagi, 1 Julai 2020.

Jika gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara selama empat bulan.

Seorang lagi rakan mereka, Abdul Sidi Mulpy, 20-an, dikenakan hukuman penjara tiga bulan bermula dari hari ini, sebelum dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan pengusiran kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Terdahulu, Abdul Sidi turut mengaku bersalah atas kesalahan sama di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus iaitu mengambil dadah.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Dayang Nur Azarinawaty Awang Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 4 Ogos lalu, enam lelaki dan dua wanita turut mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badan secara haram di mahkamah sama.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000, gagal bayar empat bulan penjara ke atas Manisa Azlina Jasman, Jefrry Udin, Ahmad Lahata, Shah Handy Edeka dan Ahmat Samsul.

Manakala Mohd Iqbal Japar dipenjara empat bulan dari tarikh ditahan.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan mereka antara yang ditahan di sebuah rumah bernombor TB 1734 Taman Nordin, Tawau, pada 30 Jun 2020, jam 8.30 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan 23 individu pada Jun lalu, selepas didakwa menyertai parti liar di sebuah rumah sewa mewah di Taman Nordin.

Semua individu itu ditahan selepas didakwa berkumpul di dalam rumah yang disewa itu sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial seperti mana di bawah Jadual Aktiviti Terlarang (Peraturan 3) dan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Bagaimanapun, 19 daripadanya ditahan selepas dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, amphetamine dan ganja.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *