Arthur Joseph Kurup Sedia Bertanding Kerusi Baru PRN Sabah

Timbalan Menteri di JPM Arthur Joseph Kurup sedia bertanding DUN Tulid jika diberi peluang. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Arthur Joseph Kurup bersedia untuk bertanding di kerusi DUN Tulid pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Terletak di pedalaman Sabah sejauh kira-kira 200 km dari ibu negeri, Tulid salah satu daripada 13 kerusi baru yang bakal dipertandingkan, dan terletak dalam Parlimen Pensiangan, yang juga dimenanginya pada pilihan raya umum 2018.

“Saya bersedia menawarkan diri saya sebagai calon, dan jika saya diminta untuk bertanding, saya sedia berkhidmat,” katanya, yang juga timbalan presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah.

“Bagaimanapun buat masa ini, saya belum menerima apa-apa arahan daripada pucuk pimpinan dan saya serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai suatu program di kawasan Parlimennya.

Minggu lalu, Exco Pemuda PBRS Edwin Laimin berkata PBRS paling sesuai bertanding di Tulid kerana parti itu mempunyai rekod baik di Pensiangan sejak hampir sedekad.

Arthur menang di Pensiangan atas tiket Barisan Nasional dengan 11,783 undi, menewaskan calon PKR (9,469), calon Parti Solidariti Tanah Airku (2,839), Parti Cinta Sabah (212), dan calon Bebas (65), dengan majoriti 2,314 undi.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3460