COVID-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah Untuk Tiga Hari Berturut-Turut

KOTA KINABALU: Sabah terus merekodkan sifar kes positif Covid-19 selama tiga hari berturut-turut selepas kali terakhir mencatat empat kes baharu pada Jumaat lalu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, masih terdapat 14 kes aktif yang dirawat di hospital berpakar di seluruh Sabah.

Sementara itu, terdapat dua kes pulih dilaporkan di Penampang dan Beluran hari ini menjadikan bilangan kes pulih setakat ini sebanyak 388 kes.

Jumlah kematian akibat wabak itu juga kekal lapan kes apabila kali terakhir kes kematian dilaporkan membabitkan seorang bukan warganegara pada 31 Julai lalu.

Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 11 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 9,099 kes termasuk 8,803 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Menurut KKM, tiada kes kematian Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kematian akibat wabak itu kekal 125.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1095