Ekonomi Sabah Akan Terus Merosot Jika Warisan Menang – Kata Pemimpin PBS

Naib presiden PBS Joachim Gunsalam (kiri) menggesa rakyat Sabah supaya berfikir tentang kegagalan Shafie merangsang ekonomi negeri walaupun mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan PH sebelum ini.

PETALING JAYA: Naib presiden PBS Joachim Gunsalam memberi amaran bahawa ekonomi Sabah akan terus merosot sekiranya Warisan memerintah negeri itu sekali lagi dengan memenangi pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan.

Memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia beliau berkata, pertumbuhan ekonomi negeri itu berada pada paras paling rendah, dengan menambah bahawa slogan “Sabah untuk rakyat Sabah” Warisan hanya retorik kosong yang tidak menawarkan apa-apa penyelesaian.

Beliau berkata, presiden parti itu Shafie Apdal menghabiskan masa 2 tahun mengetuai kerajaan negeri Sabah dengan bermain politik dan menangguhkan projek penting seperti Lebuhraya Pan Borneo.

“Hanya 3 tahun lepas, Sabah menikmati kemakmuran ekonomi paling baik berikutan kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) serta kebolehan dan pengalaman pemimpinnya pada masa itu.

“Bagaimanapun pada hari ini, hatta selepas berkuasa selama 2 tahun, kerajaan negeri masih tidak mempunyai hala tuju jelas selain daripada kata-kata klise ketua menteri untuk menghapus kemiskinan sebagai ‘hala tuju’ baru negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggesa rakyat Sabah supaya menimbangkan bagaimana Shafie gagal merangsang ekonomi negeri walaupun sewaktu beliau mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya sebelum ini.

Katanya, Sabah akan terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi negatif pada tahun-tahun akan datang sekiranya Warisan dipilih semula dan ia kekal sebagai pembangkang di peringkat persekutuan yang kini dipimpin oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ini bermakna rakyat akan terus hilang pekerjaan dan tidak mempunyai wang dalam tangan. Dalam keadaan itu, tentulah semakin sukar bagi Shafie untuk mencapai slogan klise menghapuskan kemiskinannya,” kata beliau.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *