Warisan Mungkir Janji Batal Projek Empangan Kaiduan – Kata NGO

Jurucakap NGO yang membantah pembinaan empangan Kaiduan Diana Sipail berkata lebih mengecewakan apabila sokongan dan kempen yang lantang ketika pilihan raya lalu sudah mula pudar dan hanya bersifat simbolik saja.

KOTA KINABALU: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah pembinaan empangan Kaiduan di Papar, Gerakan Bantahan Empangan Kaiduan/Papar (Takad) hari ini, menyatakan kekecewaan terhadap Warisan kerana mungkir janji untuk membatalkan projek itu.

Jurucakapnya Diana Sipail berkata, sebaliknya berlaku apabila kerajaan disokong mereka hanya sekadar menukar nama empangan Kaiduan kepada empangan Papar dan menaikkan kos projek dari RM2 bilion ke RM3 bilion.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai mengenai kekecewaan kami terhadap kerajaan Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan Upko yang mengkhianati undi serta sokongan kami pada Pilihan Raya Umum 2018.

“Ini kerana kami dan keluarga kami turun berkempen dengan harapan tinggi dan menyokong 100% kepimpinan parti Shafie Apdal dan PH yang berjanji untuk membatalkan empangan Kaiduan ini.

Kami belajar yang janji politik hanyalah janji kosong dan kepentingan kami sebagai pengundi hanya semasa pilihanraya dan selepas itu sokongan serta kepentingan syarikat menjadi lebih penting daripada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Hari Orang Asli dan Asal Sedunia, hari ini.

Diana berkata, lebih mengecewakan apabila sokongan dan kempen yang lantang ketika pilihan raya lalu sudah mula pudar dan hanya bersifat simbolik saja.

“Perjuangan kami hanya untuk tujuan gimik politik dan pilihan raya atau untuk pembelaan terhadap tanah adat dan kehidupan orang asal di Sabah? Kami masih bertanya-tanya.

“Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa tanah dan identiti 3,000 penduduk masyarakat orang asal Dusun Tagahas, Dusun Tuawon, Dusun Labu dan Kadazan Papar akan pupus jika empangan ini diteruskan.

“Projek ini juga memusnahkan banjaran Crocker, yang diisytiharkan sebagai rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2014,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada projek bernilai RM3 bilion itu boleh mengembalikan tanah adat, identiti dan alam sekitar yang bakal ‘dirobek’ nanti.

“Sempena hari istimewa ini juga, kami di Takad ingin mengulangi komitmen kepada perjuangan kami menentang empangan mega ini biarpun dikhianati kerajaan Shafie Apdal.

“Kami dengan ini mengulangi tuntutan kami agar projek ini dihentikan segera dengan menubuhkan 1 suruhanjaya bebas untuk pakar alam sekitar dan air menyiasat dan mengkaji impak kepada masyarakat orang asal dan alam sekitar serta keperluan serta alternatif yang lestari kepada empangan.

“Ini kerana sehingga hari ini, tidak ada sebarang konsultasi dengan mangsa atau kajian mendalam mengenai projek ini serta tiada ketelusan dalam pelaksanaan projek ini,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1046