Tuduhan Sogok TYT Adalah Fitnah, Saman Akan Dibuat – Shafie

TAWAU: Tuduhan kononnya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyogok Yang Dipertua Sabah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah adalah fitnah dan cubaan menghasut.

Ketua Menteri berkata, Peguam Besar Sabah, Brandon Keith Soh berada bersamanya ketika memberikan cadangan mengikut Perlembagaan kepada Tun Juhar Mahiruddin.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang mengeluarkan fitnah berkenaan.

“Itu satu fitnah dan saya telah minta peguam negeri untuk ambil tindakan undang-undang. Semasa saya jumpa TYT (Tun Juhar), ada beberapa wakil rakyat juga bersama saya.

“Saya cuma memberi nasihat kepada TYT, mana ada saya beri apa-apa dan saya tak ada hak untuk bubarkan kerana dalam Perlembagaan cukup jelas.

“Saya tidak boleh ulas lanjut kerana nanti menghina kes mahkamah ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baru-baru ini, seorang aktivis politik pro-Barisan Nasional (BN) menuduh Tun Juhar menerima habuan daripada Mohd. Shafie yang membawa kepada pembubaran DUN Sabah.

Istana Negeri Sabah dalam kenyataan berkata, tuduhan tersebut tidak berasas, tidak benar dan bermotif jahat.

Dalam penafian berkenaan, Istana Negeri Sabah mengesahkan pembubaran DUN Sabah berlandaskan Perlembagaan Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *