Azmin Sedia Bantu PN Tawan Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pasukannya bersedia membantu pakatan parti itu untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, tumpuan penuh diberikan kepada setiap jentera yang terlibat terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah untuk menggembleng tenaga bagi memenangi kerusi yang bakal ditandingi.

Menurut Azmin, meskipun isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kini masih diperingkat mahkamah, namun ia tidak merencatkan persediaan mereka.

“Walaupun kita sedia maklum ada prosiding makhamah akan berlangsung dalam beberapa minggu akan datang, tetapi kita juga memberi tumpuan untuk memastikan jentera pilihan raya di setiap DUN itu bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRN.

“Kita akan meneruskan perbincangan dan konsultasi dengan rakan-rakan lain khususnya UMNO dan parti mewakili komponen PN dan juga di luar PN bersedia bersama-sama membentuk sebuah kerajaan baharu di dalam negeri,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama pemimpin Bersatu Sabah, di sini pada Sabtu.

Hadir sama adalah Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin serta Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Sementara itu, Azmin turut melahirkan kebimbangan ekoran ketidakseimbangan pembangunan antara kerajan negeri dan Persekutuan yang berlaku pada ketika ini.

“Saya rasa ini adalah kesempatan terbaik untuk rakyat Sabah memilih sebuah kerajaan negeri yang mempertahankan hak rakyat negeri Sabah tetapi pada masa yang sama mengamalkan prinsip federalisme di kalangan kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, Sabah berpotensi melihat tampuk pemerintahan baharu di bawah pimpinan PN dan juga Bersatu untuk bergabung momentum di peringkat negeri bahkan peringkat Persekutuan. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *