Gabungan Warisan-PH PLUS-Upko Akan Bawa Kemenangan

PENAMPANG: Kombinasi Warisan-PH Plus-UPKO disifatkan sebagai gabungan yang baik untuk membawa kemenangan bagi membolehkan Warisan kembali memegang tampuk pemerintahan kerajaan Sabah

Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Jannie Lasimbang berkata, mereka sudah ada faktor kemenangan yang baik jadi, mereka harus pastikan legasi dan kerjasama ini diteruskan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

“Apa yang kami sampaikan kepada Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal adalah kami memiliki faktor kemenangan yang baik. Kombinasi DAP-PKR-UPKO-Warisan selama 26 bulan ini telah berjaya.

“Kita sudah ada gabungan kemenangan yang baik tapi kita kena pastikan ia diterima oleh rakyat di peringkat akar umbi. Dari situ, kita terus bekerjasama untuk meneruskan legasi ini,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro yang terjejas akibat Covid-19 bagi kawasan Kapayan, di sini semalam.

Dalam pada itu, Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang ini berkata, beliau akan bertanding semula bagi DUN Kapayan dalam PRN Sabah.

Katanya, kepimpinan DAP memutuskan memberi ruang kepada semua penyandang sedia ada untuk bertanding semula bagi kerusi DUN yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, senarai calon DAP ini akan dikemukakan dalam mesyuarat yang akan diadakan pada Jumaat depan bersama Shafie selaku Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) serta rakan sekutu lain.

Katanya, perkara ini telah dipersetujui di peringkat parti dan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dan senarai calon dan kerusi baharu yang ingin ditandingi akan dikemukakan kepada Shafie minggu depan.

“Kami akan menunjukkan kad laporan prestasi masing-masing dan saya harap pengundi Kapayan dapat melihatnya.

“Saya baru 26 bulan menjadi wakil rakyat, jadi tidak adil untuk menilai kami dalam tempoh singkat itu.

“Atas sebab itu sekarang saya bercakap tentang cadangan sahaja. Jika dilihat dalam fasa pertama untuk tempoh satu setengah tahun, kami cuba memahami isu-isu yang dihadapi untuk disepadankan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar sehaluan. Lepas itu, barulah proses pelaksanaan.

“Bagaimanapun, sekarang isunya bukan pasal prestasi sahaja. Mereka (rakyat) kena faham jika tidak terjadi pengkhianatan, kita (wakil rakyat) memang akan terus bekerja. Inilah pentingnya kestabilan dalam kerajaan,” katanya.

Menurutnya, mereka harus diberi peluang melaksana mandat yang diberi sehingga habis penggal bagi membolehkan rakyat menilai hasil kerja mereka.

Ditanya mengenai cadangan agar rakan sekutu Warisan menggunakan satu logo, iaitu logo Warisan, mantan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri ini berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.

“Kami sudah biasa dengan logo DAP kerana senang bagi kita. Bagaimanapun, pemimpin parti sentiasa terbuka dan mendengar pandangan satu sama lain, mana-mana yang difikirkan sesuai,” ujarnya.

Dalam PRU-14, calon DAP menang enam kerusi DUN iaitu Tan Lee Fatt (Likas); Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Calvin Chong (Elopura), Datuk Frankie Poon (Tanjong Papat) dan Jimmy Wong (Sri Tanjong). – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *