Berat Hati Saya Bubarkan DUN, Tetapi Saya Terpaksa – Shafie Apdal

Mohd Shafie menjelaskan beliau terpaksa membubarkan DUN Sabah demi kepentingan rakyat.

TAWAU: “Berat hati saya untuk membubarkan DUN (Dewan Undangan Negeri) Sabah, tetapi apakan daya demi rakyat dan saya harap rakyat akan buat pilihan yang tepat nanti,”.

Demikian penjelasan Ketua Menteri Sabah sementara (caretaker), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merujuk kepada tindakannya membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai lalu.

Bagi Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu, tindakan tersebut adalah jalan terbaik bagi menangani kemelut politik negeri itu selepas terdapat usaha menjatuhkan kerajaan yang ditadbirnya bersama UPKO, DAP dan PKR.

“Kerajaan Warisan ibarat kanak-kanak baru berusia dua tahun, tapi telah memberikan perkhidmatan yang sangat cemerlang untuk rakyat, tetapi tidak tenang asyik diganggu keluar masuk mahkamah,”  katanya.

Mohd Shafie berkata demikian di Dewan Masyarakat Tawau semasa berucap dalam majlis penyerahan lot penempatan mangsa kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan penyerahan geran tanah di Daerah Tawau dan Daerah Kalabakan pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew, Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman dan Penasihat DAP Sabah , Datuk Jimmy Wong.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie menjelaskan pihaknya telah menyerahkan geran tanah yang dianggarkan ribuan ekar kepada rakyat negeri itu. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3015