PRN Sabah: Jimmy Palikat ‘Anak Kampung’ Mahu Jadi Calon

Sekiranya diberi peluang Jimmy Palikat berhasrat bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

KOTA KINABALU: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mula terasa apabila Jimmy Palikat, nama yang tidak asing lagi bagi penduduk Sabah malah dikenali di seluruh negara menerusi lagu popularnya ‘Anak Kampung’ atau ‘Tanak Kampung’ menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket bebas.

Walaupun nama calon sudah hangat diperkatakan, sehingga kini ia belum dimuktamadkan mana-mana parti atau gabungan selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh ketua menteri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini.

Jimmy Palikat terkenal dengan lagunya ‘Anak Kampung’ atau ‘Tanak Kampung’ yang sering diputarkan di corong radio suatu ketika dulu.

Hasrat Jimmy untuk bertanding dan bergelar wakil rakyat jika menang dalam pilihan raya itu boleh dianggap 1 kejutan kerana beliau bukan ahli politik, walaupun sebelum ini ada dalam kalangan individu bergelar artis atau selebriti dari negeri ini ‘terjun’ sebagai calon.

“Ya, memang saya akui berhasrat dan berminat untuk menjadi calon pada PRN kali ini, mungkin buat masa ini ia hanya angan-angan tapi mana tahu, tarikh penamaan calon pun belum diumumkan,” katanya ketika ditemui FMT.

Jimmy yang pernah beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-27 pada 2013 bersama kumpulan One Nation Emcees berkata, jika berpeluang dia mempertimbangkan untuk bertanding atas tiket bebas.

Katanya, sebagai anak kampung dia sentiasa ingin membantu masyarakat terutama yang menghadapi kesusahan.

“Saya juga pernah menjalani kehidupan susah suatu ketika dulu, jika angan-angan saya ini menjadi kenyataan pasti saya mahu membantu rakyat di kawasan ditandingi dan membawa pembangunan di situ, itu pun kalau rakyat memilih saya,” katanya sambil mendedahkan kemungkinan akan bertanding di daerah asalnya, Tambunan.

Ketika ditanya sama ada berminat jika ditawarkan menjadi calon oleh mana-mana parti yang akan bertanding kelak, Jimmy berkata perkara itu belum terlintas di fikirannya.

“Ini kerana sekarang ini saya belum menyertai mana-mana parti politik, jadi pilihan pertama saya adalah menjadi calon bebas.

“Saya faham mungkin ada yang akan mentertawakan hasrat saya ini, tetapi tidak salah untuk berhasrat dan berangan-angan, apa yang penting jika perkara ini menjadi kenyataan, saya akan cuba meyakinkan pengundi dan seterusnya membantu dan mewakili suara mereka kerana itulah kerja wakil rakyat, bukan asyik sibuk berpolitik saja,” katanya.

Jika angan-angan Jimmy menjadi kenyataan, ia sebenarnya bukan kali pertama seorang selebriti menjadi calon pilihan raya di Sabah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-11 lalu penyanyi, pelakon dan pelawak, Abu Bakar Ellah atau lebih dikenali sebagai Ampal pernah bertanding di DUN Kuamut sebagai calon bebas.

Bagaimanapun, beliau tewas dalam persaingan 5 penjuru di kawasan berkenaan ketika itu.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3149