Polis Siap Siaga Hadapi PRN Sabah – Zaini

Zaini Jass

KOTA KINABALU: Polis Sabah bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pihaknya sedang melaksanakan persiapan dari segi penugasan pegawai termasuklah persiapan logistik.

Katanya, persiapan itu penting berikutan berlakunya pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada 73 kerusi berbanding hanya 60 sebelum ini.

“Dijangkakan dengan pertambahan kerusi terbabit jumlah pengundi turut bertambah dan kemungkinan wujudnya pusat pembuangan undi baharu atau pertambahan saluran mengundi apa pun kita sedang tunggu keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita akan laksanakan apa yang diputuskan oleh SPR dan seterusnya berapakah saluran mengundi yang akan dibuka untuk setiap pusat mengundi kerana itu akan menentukan bilangan pegawai yang bertugas pada hari  pembuangan undi nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, semalam.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, ketika berada di era Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, terdapat perubahan terhadap bilangan pengundi di saluran mengundi.

“Jika pusat mengundi kecil maka bilangan pengundi juga akan dikurangkan.

“Bilangan pegawai yang akan ditugaskan turut berubah contohnya jika sebelum ini seorang pegawai akan ditempatkan di sebuah saluran mengundi kini bilangan itu turut berubah dengan adanya penambahan saluran berkenaan.

“Apapun, persiapan dan perancangan sudah dilaksanakan, untuk keputusan akhir bagi penugasan anggota akan bergantung kepada keputusan SPR,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya semasa PRN kelak.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

662