Saya Sanggup Mati Daripada Serah Kuasa Kepada Mereka – Shafie

Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan beliau ‘sanggup mati’ daripada merelakan mandat rakyat diperlekehkan pihak tertentu.

Kenyataan ketua menteri itu merujuk kepada insiden cubaan rampasan kuasa pentadbiran negeri Sabah, baru-baru ini hingga memaksa beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya tahu ada kritik kita kenapa adakan pilihan raya, bimbang sangat nyawa manusia.

“Tetapi daripada kita menyerahkan kuasa kepada mereka secara itu (rampasan dan lompat ADUN), tidak apa bagi kita, saya sanggup mati, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil rakyat dan pemimpin Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu, pada Isnin.

Pada 29 Julai lalu, gabungan yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai jumlah majoriti mudah untuk menubuhkan satu kerajaan baharu.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah bagaimanapun terpaksa mengambil keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas diberi perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sekali gus memberi laluan kepada PRN.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN), Mohd Shafie mendedahkan kesediaan Warisan mempertahankan kerusi dimenangi dalam pilihan raya sebelum ini.

“Saya minta kemukakan (calon)… kita pertahankan kerusi yang telah kita menangi dahulu. Ia bukan hanya untuk Warisan tetapi juga UPKO, DAP dan PKR,” tegasnya.

Jelas beliau lagi, pihaknya akan mengumumkan pengagihan kerusi dan senarai calon parti itu dalam tempoh terdekat.

Ia termasuklah kesediaan bertanding dalam 13 kerusi baharu yang dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

9066