PRN Sabah Telan Kos Berganda Akibat COVID-19

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui selepas majlis pengagihan daging korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, di Kota Bharu, hari ini.

KOTA BHARU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka menelan kos lebih besar dan berganda daripada kebiasaan, berikutan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata peruntukan bertambah berikutan pelbagai langkah perlu diambil bagi memastikan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, berapa banyak peruntukan itu akan ditentukan selepas mesyuarat diadakan dalam masa terdekat.

“Pilihan Raya ketika COVID-19 ini, semestinya babitkan peruntukan lebih tinggi. Salah satu contoh dakwat celup tidak boleh digunakan seperti biasa dan perlu menyediakan dengan jumlah yang banyak.

“Pada masa sama, proses sanitasi, menyediakan tempat penjarakan dan semestinya proses mengambil masa lama yang sekali gus membabitkan elaun turut bertambah.

“Jika dulu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), membabitkan kos RM500 juta, sekiranya PRU dilakukan sekarang, ia akan menelan kos lebih RM1 bilion. Itu gambaran yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengagihan daging korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.

Mengulas lanjut katanya, PRN di Sabah akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN dimaklumkan kepada SPR.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan bagaimana kaedah pelaksanaan pilihan raya di Sabah mengikut SOP.

“Saya percaya walaupun ada sedikit pengalaman dalam PRK Chini, namun ia tidak boleh disamakan dengan PRN Sabah kerana babitkan semua DUN.

“Kita tidak mahu ada kluster baharu sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut kaedah betul,” katanya.

Semalam, SPR memaklumkan sudah menerima makluman rasmi daripada DUN Sabah semalam, berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, berkata berdasarkan Perkara 21 (4), Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *