Henti Tuntut Sabah Elak Hubungan Dua Hala Terjejas, Musa Beritahu Filipina

Isu tuntutan Manila ke atas Sabah timbul susulan tweet Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr yang mendakwa ‘Sabah is not in Malaysia’. (Gambar AP)

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman menggesa Filipina, termasuk menteri luarnya menghentikan tuntutan ke atas negeri itu demi kepentingan politik dalamannya yang akan menjejaskan hubungan dua hala.

Katanya, Sabah sebahagian daripada Malaysia dan ianya tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

Musa Aman

Adun Sungai Sibuga itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Martin Idang dalam kes kerajaan Malaysia lawan Nurhina Kiram Fornan & Ors memutuskan Sabah ialah Malaysia dan negara lain tiada hak atau kuasa untuk mencampur tangan urusannya.

Beliau berkata, rakyat Sabah tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan Filipina ke atas negeri itu.

“Sabah sebahagian daripada Malaysia dan akan terus menjadi sebahagian daripada negara berdaulat sejak negeri ini menyertai penubuhan Malaysia.

“Penduduk di Sabah memilih untuk kekal di negeri ini kerana ia berada di Malaysia.

“Kami menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi bersama Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Menteri Luar, Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, ia akan memanggil Duta Filipina ke Malaysia, Charles C Jose untuk menjelaskan catatan Setiausaha Luarnya, Teodoro Locsin Jr di Twitter yang mendakwa “Sabah is not in Malaysia”.

Katanya, kenyataan itu tidak bertanggungjawab yang akan menjejaskan hubungan dua hala kerana Sabah masih dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia.”

Locsin berkata demikian susulan catatan Kedutaan Amerika Syarikat di Twitter yang berkata, sumbangan 500 kit kebersihan diri oleh agensi bantuan AS “untuk kegunaan rakyat Filipina dihantar pulang dari Sabah, Malaysia”. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1844