TERKINI: UMNO Tarik Diri Daripada Perikatan Nasional

Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: UMNO membuat keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Pendirian terbaharu itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Beliau berkata, sokongan kepada kerajaan PN ketika ini, hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri.

Katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen BN semalam menyatakan hasrat membawa partinya menyertai MN.

“Hasrat BERSATU ini akan diperbincangkan dengan PAS untuk diperhalusi.

“Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada JK Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat BERSATU sekiranya berkemampuan memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2120