‘Saya Ada Majoriti, Layak Dilantik Sebagai Ketua Menteri’ – Musa Aman

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, menerusi peguamnya sudah menyerahkan 33 Akuan Bersumpah (SD) dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pagi tadi.

Musa berkata, SD berkenaan adalah bukti yang mengesahkan 33 ADUN berkenaan, menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Pagi ini, saya menyerahkan 33 surat Akuan Bersumpah, yang mengesahkan bahawa semua ADUN ini telah menarik semula sokongan mereka kepada Shafie, sebaliknya menyokong saya.

“Adalah amat jelas bahawa dari segi undang-undang dan perlembagaan Sabah, saya layak dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk menjadi Ketua Menteri yang baharu.

“Yang di-Pertua Negeri Sabah mempunyai tanggungjawab memberi pertimbangan yang wajar dan saya percaya beliau harus meneliti Akuan Bersumpah itu serta satu keputusan akan diambil secara bijak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di kediamannya bertempat di Taman Fook Tin di sini, petang ini.

Musa berkata, ADUN yang memutuskan untuk menyokong beliau adalah berdasarkan pertimbangan mereka sendiri selepas melihat prestasi Parti Warisan Sabah (WARISAN) menerajui kerajaan negeri.

“Saya menerima bahawa hari ini mengapa rakan-rakan saya yang dahulu berada di WARISAN ingin mengikut saya semula kerana keadaan yang wujud pada hari ini.

“Mereka memikirkan bahawa kerajaan negeri pimpinan WARISAN hari ini tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Maka amat susah kita mentadbir negeri dan wakil rakyat menjalankan tugas jika tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan WARISAN amat lemah sekali dan sebab itulah mereka mahu saya kembali menerajui kerajaan Sabah,” katanya.

Susulan sokongan yang diperolehnya, beliau berkata, tiada sebab kukuh untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Katanya, tindakan pembubaran DUN atau pilihan raya hanyalah membuang masa, wang ketika pandemik COVID-19 masih melanda, yang berpotensi membahayakan rakyat.

Media sebelum ini melaporkan Musa mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, semalam.

Pagi tadi, Shafie dalam sidang media berasingan, mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN.

 Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di perkarangan kediamannya selepas mengadakan sidang media semalam. FOTO BERNAMA.

Sementara itu, Musa dijangkakan bertolak ke Istana Negeri untuk menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di perkarangan kediamannya selepas mengadakan sidang media semalam. FOTO BERNAMA.

3300