KOTA KINABALU: Musa Aman mempersoalkan kewajaran Ketua Menteri Shafie Apdal memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri, yang akan membuka laluan kepada pilihan raya di seluruh negeri, ketika wabak Covid-19.
Di samping itu, bekas ketua menteri Sabah itu juga berkata 33 akuan bersumpah yang menyatakan sokongan kepadanya sudah diserahkan kepada Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pagi tadi.
“Bagaimana DUN boleh dibubarkan sedangkan kami mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan, adalah tidak wajar lebih-lebih lagi sekarang ini kita berdepan dengan wabak Covid-19,” katanya pada sidang media di kediamannya di Luyang hari ini.
Musa berkata amat jelas dari segi undang-undang dan perlembagaan negeri, beliau layak dilantik sebagai ketua menteri kerana mempunyai majoriti.
“Tidak perlu pembubaran lebih-lebih lagi sekarang kita berdepan wabak Covid-19, jangan sesekali kita memperjudikan nyawa rakyat,” katanya.
Musa bagaimanapun tidak terkejut dengan langkah Shafie itu, “malah menjangkakan ia akan berlaku”.
Katanya, beliau akan menghantar peguam bagi meneliti semula pembubaran yang diumumkan Shafie dan memohon Yang di-Pertua menarik balik persetujuan pembubaran DUN itu. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost