Musa Aman Tolak Keputusan Bubar DUN Kerana Bahayakan Nyawa Rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan seterusnya mengadakan pilihan raya negeri mengejut, tegas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Dalam satu sidang media hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu berkata, beliau sudah mempunyai 33 akuan bersumpah (SD) ADUN yang menyokong beliau, seterusnya mempunyai majoriti mudah untuk bentuk kerajaan baharu.

Ujarnya lagi, adalah tidak wajar untuk membazirkan wang serta mendedahkan rakyat kepada risiko penularan wabak COVID-19, semata-mata untuk kepentingan peribadi.

“Kalau kita perhatikan dengan keadaan wabak COVID-19 yang melanda negara kita termasuk Sabah, pembubaran DUN adalah langkah tidak wajar. Kerana yang ada hari ini jelas di sini bahawa ada 33 ADUN iaitu simple majoriti membolehkan kita menubuh kerajaan negeri.

“Saya juga kira, kepentingan dan kesihatan rakyat, jadi keutamaan kita dalam buat sebarang keputusan. Jangan sekali kali kita perjudikan nyawa rakyat semata mata untuk kepentingan peribadi dan politik,” katanya lagi.

Awal hari ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Dalam satu sidang media khas pada Khamis, Mohd Shafie menjelaskan, pembubaran DUN Sabah itu telah mendapat perakuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam jangka masa 60 hari dan beliau akan terus menjadi Ketua Menteri Sabah sementara (caretaker). – Awani

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3290