Kali Kedua Saya Dianiaya – Musa Aman

Musa ketika mengadakan sidang media khas di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu. Gambar Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Musa Aman menganggap pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah seperti yang diumumkan Mohd Shafie Apdal pagi tadi, sebagai satu lagi penganiayaan terhadapnya.

Katanya, kali pertama apabila kerajaan yang ditubuhkan melalui pilihan raya umum 2018 “dirampas”.

“Saya sudah menubuhkan kerajaan dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah…saya dipecat,” katanya pada sidang media di kediamannya di Luyang hari ini.

Musa berkata antara sebab wakil rakyat yang menyokong Shafie kini berpihak kepadanya kerana mereka mengambil kira hubungan antara kerajaan negeri dengan persekutuan yang tidak sehaluan.

“Sukar bagi wakil rakyat menjalankan tugas mereka kerana tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan dan oleh sebab itu mereka menyokong saya.

“Selain itu, mereka juga memikirkan yang kerajaan diterajui Warisan ini amat lemah dan mahukan saya kembali menerajui negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Musa berkata walaupun pembubaran DUN dianggapnya tidak wajar, pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya.

“Sudah pasti kami bersedia, tetapi adakah perlu untuk menyusahkan dan membuang duit rakyat untuk mengadakan pilihan raya?” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

17182