PGA Tahan 4 Lelaki Cuba Seludup Barang Di Semporna

Suspek ditahan anggota PGA ketika cuba menyeludup keluar barang kawalan melalui kawasan perairan Semporna, awal pagi tadi. Foto ihsan PGA.

SEMPORNA: Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau menahan empat lelaki warga Filipina ketika cuba menyeludup keluar 1,675 liter petrol menerusi Ops Benteng Covid di sekitar kawasan perairan Semporna awal pagi tadi.

Semua suspek terbabit ditahan dalam dua tangkapan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota PGA diketuai Asisten Superintendan Shankar Ganesh Govindasami dalam operasi bermula jam 2.10 pagi hingga 4 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Superintenden Mohd Yacob Murad berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki berumur 25 dan 40 tahun selepas bot laju dinaiki mereka berjaya dipintas ketika sedang menuju ke sempadan perairan Filipina.

Katanya, ketika diperiksa pasukan keselamatan menemukan sejumlah barang kawalan termasuk empat tong gas cecair petroleum (LPG) selain minyak petrol bersubsidi yang disimpan di dalam 50 tong plastik dengan setiap satu berisi 25 liter disyaki cuba diseludup keluar.

“Selang beberapa jam kemudian, anggota keselamatan terserempak pula dengan sebuah lagi bot laju di perairan sama sebelum cuba meloloskan diri namun berjaya ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Dua lelaki masing-masing seorang tekong dan awak-awak masing-masing berumur 21 dan 22 tahun didapati membawa barang kawalan bersubsidi iaitu minyak petrol (17 tong) dan empat tong gas LPG,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Yacob lagi, siasatan lanjut juga mendapati kesemua suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu juga didapati melanggar perintah berkurung.

“Tangkapan bersama barang rampasan termasuk dua bot dan tiga unit enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM39,858.00 kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *